Amalan Protokol Diraja

ADAT TERTIB MENGADAP.
Awam

  • Berdiri tegak , kedua kaki dirapatkan.
  • Luruskan kedua-dua tangan  di sisi tubuh, beri sembah hormat (menjunjung duli) / menundukkan kepala.
  • angan terlalu tunduk seolah-olah membongkok yang menyerupai adat hormat masyarakat Jepun
  • Jarak dengan baginda Tuanku tidak terlalu rapat atau terlalu jauh (2 hingga 3 kaki).
  • Ketika bersalaman – hendaklah tunduk hormat/mencium tangan

Pegawai Pakaian Seragam

  • Hendaklah memberi “Tabik Hormat”.
  • Jika berdiri jauh, perlu “Tabik Hormat” dahulu sebelum berjalan menghampiri baginda.

ADAT TERTIB HORMAT KETIKA SPB TUANKU BERDUA BERSEMAYAM (DUDUK)

  • Berdiri tegak – kedua kaki dirapatkan.
  • Luruskan kedua-dua tangan di sisi tubuh- beri sembah hormat (menjunjung duli) / menundukkan kepala.
  • Kemudian menghampiri baginda, berlutut dan mencium tangan baginda.
  • Selepas itu berundur kira-kira tiga tapak, beri sembah hormat (Menjunjung Duli) / menundukkan kepala sekali lagi sebelum berpusing.

ADAT TERTIB KETIKA MENGIRING SPB TUANKU BERDUA

  • Apabila mengiring kebawah SPB Tuanku, anda hendaklah berjalan di belakang sedikit daripada Tuanku dan tidak sekali-kali seiring dengan Baginda (disebelah kanan atau sebelah kiri).
  • Apabila terpaksa berlalu di hadapan Tuanku, anda hendaklah hormat takzim / tunduk hormat sambil berkata “Patik mohon lalu Tuanku.
  • Apabila Tuanku berangkat lalu di hadapan anda, anda hendaklah memberi hormat takzim / tunduk hormat (bagi lelaki) dan hormat penuh takzim (Courtesy) bagi wanita.
  • Jika Baginda berangkat lalu di belakang anda, anda hendaklah berpusing menghadap Baginda Tuanku dan memberikan hormat takzim / tunduk hormat / hormat penuh takzim.
  • Apabila anda berdiri di hadapan dengan Baginda, elakkan dari berpeluk tubuh, bercekak pinggang, menyeluk saku atau bersilang tangan belakang. 
  • Bagi wanita yang menjadi pengiring, elakkan dari membawa tas tangan yang bergantung di bahu.

ADAT TERTIB MENYEMBAH SEMBAHAN KETIKA SPB TUANKU BERSEMAYAM (DUDUK)

  • Beri hormat takzim/menundukkan kepala – mara ke hadapan anggaran tiga langkah atau sehingga berhadapan
  • Menghadap atau di sebelah kiri/kanan tertakluk kepada keadaan tempat Baginda bersemayam
  • Beri hormat takzim – kendurkan kaki hingga hampir berlutut dengan lutut kiri mencecah lantai dan sembahkan persembahan itu.
  • Jika Tuanku menghulurkan tangan, sambut serta cium tangan Baginda.
  • Kemudian bangun dan berdiri sebentar, beri hormat takzim.
  • Undur tiga tapak ke belakang baru duduk semula ke tempat asal atau berpusing dan berjalan balik ke tempat asal, tertakluk kepada keadaan.

ADAT TERTIB KETIKA MENYEMBAH SEMBAHAN 

  • Sediakan dulang yang beralaskan kain berwarna kuning.
  • Beri hormat takzim/menundukkan kepala – mara ke hadapan anggaran tiga langkah atau sehingga berhadapan
  • Sembahkan sembahan itu dengan menghulurkan dulang.
  • Jangan mengangkat barangan di atas dulang semasa menyembahkan sembahan kepada Baginda.
  • Apabila selesai, berdiri tegak sebentar dan beri hormat takzim sekali lagi.
  • Jika Tuanku menghulurkan tangan untuk bersalam, hendaklah beri hormat takzim sambil mencium tangan Baginda.
  • Undur tiga tapak ke belakang. Beri hormat takzim sekali lagi untuk duduk atau berpusing dan kembali ke tempat asal.

ADAT TERTIB KETIKA SPB TUANKU BERANGKAT LALU DIHADAPAN/ BELAKANG

  • Jika Tuanku berangkat lalu di hadapan atau di belakang, di tepi atau di sebelah,adalah takzim dan santun.
  • jika bangun berdiri menghadap atau berpusing menghadap baginda dan menjunjung duli/tundukkan kepala sebagai tanda hormat.
  • Apabila Tuanku bangun dari tempat bersemayam, para hadirin perlulah juga berdiri sebagai tanda hormat.

ADAT TERTIB DALAM MAJLIS MAKAN

  • Jangan memulakan makan sebelum Tuanku santap.
  • Jauhkan dari menganga besar apabila menyuap makanan.
  • Apabila mengunyah mulut hendaklah ditutup.
  • Jangan bercakap dengan mulut penuh makanan.
  • Tentukan penggunaan alat-alat memakan digunakan dengan betul dan jangan sampai berbunyi bising
  • Sisa-sisa makanan tidak dibiarkan atas alas meja.
  • Selepas habis makan, alatan memakan hendaklah disusun rapat dan tidak dibiarkan berselerak.
  • Elakkan mengorek gigi dengan jari, gunakan napkin untuk menutup mulut apabila mengeluarkan makanan terselit di gigi itu.
  • Ketika batuk atau bersin, mulut hendaklah ditutup dengan napkin.
  • Elakkan dari menguap atau sendawa kekenyangan kuat-kuat.
  • Jangan mengorek telinga, menggaru-garu badan, menggeliat, mematahkan jari tangan dalam majlis jamuan.
  • Jauhkan dari mengangkat dagu atau meletak kedua belah siku di atas meja.
  • Apabila duduk di meja makan, bagi wanita, tas tangan hendaklah digantung di sebelah kanan dengan menggunakan “handbag holder” –  tidak sekali-kali diletak atas meja makan walaupun tas tangan tersebut kecil.

ADAT TERTIB DUDUK DALAM MAJLIS

  • Duduk dengan penuh adab sopan
    Tidak duduk “bersila panggung ” atau mengangkat kaki atas kaki atau lutut (Bersilang Kaki).
  • Tidak menghalakan tapak kaki ke hadapan Baginda @ berlunjur/bersilang kaki.
  • Ketika majlis santapan,duduk dengan tertib.
    Kedua-dua tangan hendaklah diletak di atas peha dan tidak berpeluk tubuh.
  • Siku tidak diletak di atas meja dan jika terpaksa meletak tangan di atas meja, letakkan tangan setakat pergelangan tangan di atas meja.
  • Mendagu tidak dibenarkan.
    Apabila duduk, elakkan dari duduk bersandar seolah-olah badan hendak menggelungsur turun.
  • Dalam majlis rasmi, elakkan dari berbual-berbual sesama sendiri sehingga lupa bahawa Tuanku di hadapan.
  • Jika perlu berbincang, bicaralah dengan perlahan dan tertib.