Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang. Baginda merupakan paduka putera sulung Sultan Ahmad Shah, Sultan bagi negeri Pahang dan seluruh jajahan takluknya.

Latar belakang pendidikan awal Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku telah bermula di Sekolah Clifford, Kuala Lipis  pada tahun 1965. Kemudian Baginda telah menyambung persekolahan peringkat rendah di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan (1966-1969) dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan serta pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas (1970-1974).

Dalam usia 16 tahun, Baginda kemudiannya berangkat melanjutkan pengajian ke Aldenham School, Elstree, Hertfordshire, UK pada tahun 1975-1977. Pengajian Baginda kemudiannya diteruskan dalam bidang ketenteraan di The Royal Military Academy Sandhurst, UK (1978 1979). Pada tahun 1980-1981, Baginda telah meneruskan pengajian peringkat diploma di Worcester & Queen Elizabeth College, UK dalam bidang International Relations And Diplomacy.

Pada 1 Julai 1975, Baginda telah dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan kemudiannya telah dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan. Dalam usia baru sahaja menjangkau 20 tahun, Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang untuk tempoh lima tahun bermula pada 28 April 1979, iaitu selama tempoh ayahanda Baginda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’adzam Shah menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-VII.

KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku telah bertemu jodoh dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu puteri ketiga kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar. Pengantin Diraja Pahang dan Johor ini telah diijab kabulkan pada 6 Mac 1986 di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor dan Istiadat Membatalkan Air Sembahyang telah diadakan di Istana Bukit Serene. Hasil perkahwinan tersebut Baginda berdua telah dikurniakan dengan empat orang putera dan lima orang puteri.

Seperti kelazimannya, sebagai pewaris takhta, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku telah didedahkan dengan bidang ketenteraan sejak dari awal lagi. Komitmen Baginda dalam bidang ketenteraan sangat terserlah sehingga dilantik sebagai Leftenan Muda, Royal Military Academy, Sandhurst, England dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980.

Baginda juga adalah Kapten bagi pasukan Kor Kavelri Diraja Malaysia dan dilantik menjadi Leftenan Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Mei 1999. Sifat kepimpinan Baginda dalam bidang ketenteraan sentiasa dikagumi sehingga Baginda dilantik menjadi Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Jun 2000 dan kemudiannya menjadiBrigadier Jeneral, Komander Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004.

KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku juga sangat aktif dalam bidang sukan. Antara bidang sukan yang diminati oleh Baginda adalah polo, bola sepak dan hoki. Baginda bukan sahaja aktif di dalam negara malahan juga di luar negara dan pernah mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England serta mengambil bahagian dalam pertandingan di Singapura, Filipina, Brunei, Argentina, Amerika Syarikat, Sepanyol, Belgium dan Thailand. Kehebatan Baginda dalam sukan Polo terbukti apabila berjaya menggondol pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-12 di Singapura pada tahun 1983.

Pencapaian Baginda dalam bidang sukan sangat terserlah sehinggakan Baginda diberi kepercayaan untumemegang beberapa jawatan penting  persatuan persatuan sukan didalam dan di luar negara.Antara jawatan yang pernah disandang adalah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Vice President of Asian Football Confederation. Baginda juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Anggota Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia untuk penggal 2015-2019.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sangat sinonim dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat. Ini adalah hasil didikan penuh kasih sayang yang disemai sejak kecil lagi oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar serta bondanya, Almarhumah Tengku Ampuan Afzan Rahimahallah Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

Keprihatinan Baginda dan Tuanku Permaisuri dalam menyelami denyut nadi rakyat dapat dilihat dengan jelas bila mana Baginda sentiasa dilihat dengan segera bercemar duli untuk bertanya khabar, bertitah kata-kata semangat dan mengurniakan sumbangan peribadi setiap kali mendengar rakyat Baginda ditimpa bencana.

Sesungguhnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah seorang raja yang berjiwa rakyat. Dengan keperibadian yang mulia dan legasi pemerintahan berpaksikan kata keramat ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ yang diwarisi daripada Paduka Ayahanda ini membuatkan Baginda Tuanku sangat disayangi rakyat jelata terutamanya rakyat negeri Pahang tanah tumpah darah Baginda.