Articles

Alat Kebesaran Diraja



KERIS PANJANG
DIRAJA

Alat kebesaran Melayu yang sangat dimuliakan adalah keris dan Keris Panjang Diraja adalah alat kebesaran negara yang utama dalam istiadat pertabalan. Keris Panjang Diraja adalah Keris Kerajaan dan merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan. Keris ini, dari hulu hingga ke sarungnya bersalut dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas Negeri-negeeri Tanah Melayu. Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil daripada sebelas bilah keris negeri-negeri itu. Hulu keris ini berbentuk Tapak Kuda dengan hiasan yang merupakan buah jering. Keris ini hanya dibawa oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat-istiadat tertentu sahaja.

COGAN ALAM 
Cogan Alam diperbuat daripada perak. Panjangnya 162.66 sentimeter berupa suatu bulatan di atas hulu tongkat. Di atas bulatan ini diperbuat anak bulan dengan bintang daripada emas. Di sekeliling bulatan ini diterapkan dengan lambang sebelas Negeri-negeri Tanah Melayu yang diperbuat daripada emas. Bulatan tersebut ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri manakala tongkatnya dihiasi dengan enam tangkai padi yang diperbuat daripada emas.


COGAN AGAMA
Cogan Agama adalah juga diperbuat daripada perak. Panjangnya 155.04 sentimeter berupa sebatang tongkat bulat berhulu besar. Di atas hulu tongkat itu diperbuat anak bulan dengan bintang pecah lima daripada emas. Pada batang dan hulunya diterapkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran.


COKMAR
Cokmar adalah dua batang tongkat pendek berhulukan kubah merupakan alat perang zaman dahulu. Cokmar diperbuat daripada perak dan panjangnya adalah 81.32 sentimeter.


PEDANG, KERIS PANJANG DAN SUNDANG DIRAJA
Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja adalah tiga senjata Melayu lama yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran Diraja iaitu diambil daripada mata pedang, keris panjang dan sundang zaman purbakala. Keris Panjang dan Sundang pula disalut dengan perak serta berukir-ukir pada hulu dan sarungnya.


PAYUNG UBUR-UBUR KUNING DAN TOMBAK BERAMBU

 Payung Ubur-ubur Kuning dan Tombak Berambu ini juga adalah sebahagian daripada alat kebesaran diraja. Terdapat dua puluh kaki Payung Ubur-ubur Kuning yang diperbuat daripada kain sutera yang berwarna kuning raja iaitu suatu warna yang dipandang mulia oleh orang Melayu dan dikhaskan menjadi lambang kebesaran Raja-rajanya. Di kemuncaknya dipasangkan anak bulan dengan bintang.Di samping itu terdapat dua puluh batang Tombak Berambu yang matanya berlok tiga diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari sebelas buah negeri di Semenanjung Malaysia. 
 


>NOBAT