Articles

Institusi Agong

Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan

Senarai Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan

Darjah Kebesaran Persekutuan merupakan anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan oleh  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada pemimpin dan rakyat Malaysia yang telah berjasa, berkorban dan berbakti kepada negara serta para pembesar dan diplomat negara-negara asing.

pingat-web 03
1.0 KATEGORI : Darjah Kerabat dan Darjah Kebesaran Diraja
 

Darjah kebesaran ini mempunyai satu pangkat sahaja dan bilangan ahli-ahlinya terhad seramai 10 orang. Darjah kebesaran ini dikurniakan kepada seorang Raja yang telah diisytiharkan sebagai Yang Dipertuan Agong sahaja.

Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana. Kalung Darjah diperbuat daripada perak bersadur emas. Bintang Darjah berbentuk pancaran-pancaran emas dan di atasnya berukir timbul motif daun paku (fern). Darjah diperbuat daripada kain sutera merah dan hujungnya berikat reben. Lencana Darjah berbentuk pancaran-pancaran emas dan di atasnya terdapat sekuntum bunga raya. Ia berpaut pada motif Mahkota Diraja Malaysia. Darjah ini dizahirkan pada 18 April 1966 dan diwartakan pada 30 Jun 1966.

   

pingat-web 06

2.0 KATEGORI: Darjah Kerabat dan Darjah Kebesaran Diraja
 

Darjah kebesaran ini juga mempunyai satu pangkat sahaja. Bilangan ahli-ahlinya adalah terhad kepada 30 orang sahaja. D.M.N ini dikurniakan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang baru sahaja ditabalkan di negerinya. 15 daripadanya mungkin terdiri daripada anak-anak Raja negara luar, Ketua-ketua Negara atau orang-orang yang amat ternama.

Darjah Utama Seri Mahkota Negara ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Kalung Darjah mengandungi motif tengah yang berbentuk dua bilah keris bersarung yang bersilang serta menjulang. Bintang dan Bulan Sabit Bintang Darjah ini diperbuat daripada emas dan berbentuk bintang pecah sembilan. Lencana Darjah ini diperbuat daripada bintang pecah lima. Selepang Darjah diperbuat daripada kain sutera kuning dan di tengahnya terdapat jalur merah dan hujungnya berikat reben.

Di kedua-dua belah tepinya terdapat jalur kecil putih di antara dua jalur kecil berwarna biru. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958.

   
  pingat-web 09
3.0 KATEGORI :
 

Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) merupakan pangkat yang tertinggi antara enam pangkat dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. Dikurniakan sebagai penghormatan yang istimewa kepada mereka yang telah berjasa dengan cemerlang kepada negara dan berpengaruh tinggi sesuai dengan kedudukan mereka.

Pangkat S.M.N. terhad kepada 25 orang, tidak termasuk jumlah warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat. Penyandang Darjah ini membawa gelaran 'Tun' dan isteri penyandang bergelar 'Toh Puan'.

Kalung Darjah mengandungi lambang-lambang Jata negeri-negeri dalam Malaysia. Bintang Darjah berbentuk bintang pecah sebelas yang diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Lencana Darjah berbentuk bintang pecah sebelas diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Selepang Darjah diperbuat daripada kain sutera berlatarkan warna biru dan di kedua belah tepi selepang terdapat jalur kuning. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958

   
  pingat-web 12
 4.0  KATEGORI :
 

Panglima Mangku Negara (P.M.N) ialah Darjah Pangkat Kedua dalam keluarga Darjah-darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN) dan Kelas Pertama bagi kurniaan ‘Tan Sri’. Penyandangnya bergelar ‘Tan Sri’ dan jika beristeri, maka isterinya bergelar ‘Puan Sri’. Dikurniakan kepada mereka yang ternama dan bertaraf tinggi yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara dalam apa jua lapangan. Bagi pegawai kerajaan, pengurniaan ini sesuai bagi mereka yang berada di Tingkatan Turus I. Jumlah anugerah terhad kepada 75 orang sahaja dan ini tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Bintang Darjah diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Lencana Darjah sama seperti Bintang Darjah tetapi saiznya kecil sedikit. Selepang Darjah mempunyai warna jalur putih di kedua belah tepi selepang dan jalur merah di tengah yang terletak di atas jalur kuning. Selepang ini ada ikatan reben di hujungnya dan di bawah ikatan ini tersangkut Lencana Darjah. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958.

   
  pingat-web 16
 5.0  KATEGORI :
 

Johan Mangku Negara (J.M.N.) merupakan pangkat ketiga antara enam pangkat dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Jumlah penyandang J.M.N. terhad kepada 1,000 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

   
   
   
   
   
   
   

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ketua Utama Negara

KETUA UTAMA NEGARA

Perkara 32: Ketua Utama Negara bagi Persekutuan , dan Isterinya

(1)    

Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

(2)  

Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.

(3)  

Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja atau boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

(4)  

Peruntukan Bahagian I dan III Jadual Ketiga hendaklah terpakai bagi pemilihan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong.

Nobat Diraja

 

Nobat adalah salah satu cabang seni muzik tradisi yang terdapat di Malaysia. Terdapat empat buah negeri di Malaysia yang mempunyai kumpulan alat muzik Nobat iaitu Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor. Nobat negeri Kedah dikatakan sebagai yang tertua dan mula diperkenalkan di Kedah pada zaman pemerintahan Sultan Ataullah Muhammad Shah I iaitu pada tahun 1118 Masihi. Nobat merupakan orkestra Diraja bagi Majlis adat istiadat istana seperti istiadat pertabalan, perkahwinan,menjunjung duli, berkhatan, kemangkatan dan sebagainya.

Alat-alat muzik yang digunakan dalam Nobat Diraja Kedah terdiri daripada enam jenis iaitu Serunai, Nafiri, Gendang Ibu, Gendang Anak dan Gong. Satu lagi perkataan yang digunakan ialah Mahaguru atau dikenali juga sebagai Semambu iaitu sebatang rotan semambu yang dijadikan lambang mohor atau cokmar yang menjadi simbol kekuasaan Raja. Rotan sepanjang 1.77 meter ini dibalut dengan kain kuning dan akan dipegang oleh Penghulu Nobat menghadap kumpulannya ketika permainan Nobat dipersembahkan. Alat muzik ini dimainkan oleh beberapa orang pemuzik yang dipilih khas dalam satu keturunan keluarga sahaja yang dikenali sebagai ‘orang kalur’ dan mereka memainkan lagu-lagu yang telah diwarisi sejak zaman dahulu lagi. Antara lagu yang sering dimainkan ialah Raja Burung, Belayar, Mala wala dan sebagainya.


LAGU-LAGU NOBAT

Dalam Istiadat Pertabalan, tiga lagu Nobat dimainkan iaitu Raja Berangkat semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairung Seri, Menjunjung Duli semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairung Seri, RajaBertabal selepas Seri Paduka Baginda mengangkat Sumpah Diraja dan Raja Berangkat sekali lagi apabila Seri Paduka Baginda berdua berangkat pulang dari Balairung Seri. Nobat Subuh, Nobat Khamis dan Nobat Raja hanya boleh dimainkan di sebelah pagi dan petang dan Puteri Mandi Mayang dimainkan semasa menyambut ketibaan bulan Ramadan tiga petang berturut-turut, iaitu petang 28, 29 dan 30 dalam bulan Syaaban tiap-tiap tahun.

Logo dan Panji-Panji Diraja

 

Sebagai Ketua Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah simbol kepada ketaatan warga Malaysia kepada Undang-undang dan Perlembagaan. Panji-panji Diraja adalah simbol kepada kewujudan Institusi Yang di-Pertuan Agong. Panji-panji Diraja yang berwarna kuning mempunyai Jata Malaysia di tengah-tengah yang dikelilingi oleh dua karangan padi. Warna kuning adalah warna Diraja. Karangan padi yang berwarna keemasan melambangkan kemewahan atau kemakmuran.

Rekabentuk Jata Malaysia di tengah-tengah adalah menunjukkan:

i. Bulan serta bintang yang mempunyai 14 cabang adalah menunjukkan 14 buah negeri yang menjadi komponen negeri dalam Malaysia yang juga menunjukkan bahawa Islam adalah agama bagi Malaysia.

ii. Lima bilah keris adalah melambangkan lima buah negeri-negeri Melayu Bukan Bersekutu (sebelum merdeka) iaitu Johor, Kedah, perlis, Kelantan dan Terengganu;

iii. Di kiri kanan perisai adalah melambangkan negeri-negeri yang tidak beraja iaitu Melaka, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang;

iv. Manakala empat panel perisai yang mempunyai ukuran yang sama di tengah-tengah perisai yang mengandungi warna-warna putih adalah negeri Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam dan kuning adalah warna negeri Perak; merah, hitam dan kuning wadalah warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini adalah asalnya negeri-negeri Melayu Bersekutu.

 

 

 

Alat Kebesaran Diraja



KERIS PANJANG
DIRAJA

Alat kebesaran Melayu yang sangat dimuliakan adalah keris dan Keris Panjang Diraja adalah alat kebesaran negara yang utama dalam istiadat pertabalan. Keris Panjang Diraja adalah Keris Kerajaan dan merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan. Keris ini, dari hulu hingga ke sarungnya bersalut dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas Negeri-negeeri Tanah Melayu. Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil daripada sebelas bilah keris negeri-negeri itu. Hulu keris ini berbentuk Tapak Kuda dengan hiasan yang merupakan buah jering. Keris ini hanya dibawa oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat-istiadat tertentu sahaja.

COGAN ALAM 
Cogan Alam diperbuat daripada perak. Panjangnya 162.66 sentimeter berupa suatu bulatan di atas hulu tongkat. Di atas bulatan ini diperbuat anak bulan dengan bintang daripada emas. Di sekeliling bulatan ini diterapkan dengan lambang sebelas Negeri-negeri Tanah Melayu yang diperbuat daripada emas. Bulatan tersebut ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri manakala tongkatnya dihiasi dengan enam tangkai padi yang diperbuat daripada emas.


COGAN AGAMA
Cogan Agama adalah juga diperbuat daripada perak. Panjangnya 155.04 sentimeter berupa sebatang tongkat bulat berhulu besar. Di atas hulu tongkat itu diperbuat anak bulan dengan bintang pecah lima daripada emas. Pada batang dan hulunya diterapkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran.


COKMAR
Cokmar adalah dua batang tongkat pendek berhulukan kubah merupakan alat perang zaman dahulu. Cokmar diperbuat daripada perak dan panjangnya adalah 81.32 sentimeter.


PEDANG, KERIS PANJANG DAN SUNDANG DIRAJA
Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja adalah tiga senjata Melayu lama yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran Diraja iaitu diambil daripada mata pedang, keris panjang dan sundang zaman purbakala. Keris Panjang dan Sundang pula disalut dengan perak serta berukir-ukir pada hulu dan sarungnya.


PAYUNG UBUR-UBUR KUNING DAN TOMBAK BERAMBU

 Payung Ubur-ubur Kuning dan Tombak Berambu ini juga adalah sebahagian daripada alat kebesaran diraja. Terdapat dua puluh kaki Payung Ubur-ubur Kuning yang diperbuat daripada kain sutera yang berwarna kuning raja iaitu suatu warna yang dipandang mulia oleh orang Melayu dan dikhaskan menjadi lambang kebesaran Raja-rajanya. Di kemuncaknya dipasangkan anak bulan dengan bintang.Di samping itu terdapat dua puluh batang Tombak Berambu yang matanya berlok tiga diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari sebelas buah negeri di Semenanjung Malaysia. 
 


>NOBAT