SPB Agong Berangkat Ke Rumah Terbuka ATM Dan PDRM


KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari Ahad berkenan berangkat ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pekarangan Muzium Diraja (Istana Lama) di sini.

Seri Paduka berdua meluangkan masa kira-kira 90 minit untuk bersantap dan menonton persembahan oleh badan kesenian ATM dan PDRM. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Lebih 10,000 tetamu turut menghadiri majlis berkenaan walaupun dalam keadaan hujan lebat. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penganjuran majlis kali kedua itu akan dijadikan acara tahunan bersama PDRM dan ATM.

-- BERNAMA