SPB Yang di-Pertuan Agong Rasmi Kompleks Islam Sarawak

 

KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan merasmikan Kompleks Islam Sarawak di Jalan P Ramlee di sini Isnin malam.

Serentak dengan perasmian itu baginda turut berkenan menamakan kompleks tersebut sebagai Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Idea pembinaan kompleks itu dicetuskan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang ingin menjadikannya sebagai lambang pengukuhan muhibah rakyat yang saling bekerjasama memajukan Sarawak.

Kompleks setinggi 17 tingkat itu dibina dengan kos kira-kira RM100 juta dan menjadi mercu tanda baharu bandar raya ini.

Bangunan merangkumi 12 tingkat ruang pejabat, dua tingkat perpustakaan dan tiga tingkat untuk ruang perniagaan, restoran, medan selera serta tempat letak kereta.

Kompleks ini turut dilengkapi sebuah dewan serba guna yang boleh menampung 2,000 orang.

Pembinaan kompleks ini juga merupakan kesinambungan kepada pembangunan Projek Wakaf Majlis Islam Sarawak (MIS) yang dilaksanakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak.

Selain pejabat MIS, jabatan-jabatan kerajaan lain yang ditempatkan di kompleks ini termasuklah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Kuching.

Pembinaan kompleks ini berlandaskan kepada reka bentuk terkini dan unik serta menyerlahkan imej seni bina Islam dan tempatan.

-- BERNAMA