Yang Di-pertuan Agong Akhiri Lawatan Rasmi Ke Sarawak



KUCHING, 17 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Selasa menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Sarawak.

Sepanjang lawatan itu, Seri Paduka berdua menghadiri program bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sarawak dalam Malaysia, dan Sambutan Hari Malaysia ke-50 di Padang Merdeka, semalam.

Majlis keberangkatan pulang pelawat diraja itu berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, dan isteri Toh Puan Hajah Norkiah Abdullah.

Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri, serta barisan anggota kabinet negeri.

Tuanku Abdul Halim kemudian menerima sembah tabik Hormat Diraja dari Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum dipersembahkan dengan tarian singa serta tarian kebudayaan Sarawak.

-- BERNAMA