Articles

Istana Negara Lama (Muzium Diraja)

 aistananegara

Istana Negara Jalan Istana yang kini lebih dikenali sebagai Muzium Diraja adalah satu masa dahulu pernah menjadi tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sebelum Istana Negara, Jalan Duta siap dibina dan menjadi tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad merupakan pemerintah pertama bersemayam di Istana Negara Jalan Istana beberapa minggu sebelum kemerdekaan diisytiharkan. Manakala Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menjadi pemerintah terakhir yang mengguna pakai Istana Negara Jalan Istana ini.

Istana ini terletak di Jalan Istana bertentangan dengan Jalan Syed Putra,di dalam kawasan seluas 28 ekar atau 11.34 hektar di tepi Bukit Petaling di Kuala Lumpur. Pada asalnya, ianya merupakan sebuah banglo yang telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 dan menjadi rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Encik Chan Wing. Pada zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, bangunan ini telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan selepas diubahsuai, ianya dijadikan sebagai Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor sehingga tahun 1957. Bangunan yang indah itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada tahun 1957 dan diubahsuai pada harga RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai untuk dijadikan kediaman Raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.

Istana Negara Jalan Istana kemudiannya direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak menjejaskan struktur utama bangunan. Pengubahsuaian itu menambahkan bilangan bilik daripada 13 kepada 20, dengan dapur bagi 100 orang, Balai Menghadap, empat Bilik Tetamu, dua Balai Kemasukan dan satu Dewan Santapan. 

Pada tahun 1980, Istana Negara Jalan Istana telah mengalami pengubahsuaian yang besar bagi tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dengan pembinaan Balairung Seri iaitu tempat Singgahsana diletakkan. Singgahsana ini dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya Kapt David Wee yang berasaskan alat kebesaran diraja.  Ia digunakan pertama kalinya ketika pertabalan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1980. Selain Istiadat Pertabalan, Balairung Seri juga digunakan bagi Dewan Santapan Rasmi, Istiadat mengambil Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah kebesaran Bintang-Bintang dan Pingat Persekutuan serta Majlis-majlis Keagamaan.

Istana Negara Jalan Istana ini juga turut mempunyai Singgahsana Kecil di aras satu untuk baginda menerima dan menyerahkan surat perlantikan kepada Duta dan Pesuruhjaya Tinggi serta mengadakan Istiadat yang berskala kecil. Manakala Bilik Duta di aras bawah adalah tempat menghadap Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan. Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri juga turut mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan pada hari Rabu di bilik ini.

Istana Negara, Jalan Istana turut mempunyai Dewan Kecil bagi Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan sementara Bilik Permaisuri adalah tempat keluarga diraja bertemu dengan pasangan diraja atau bagi upacara tidak rasmi. Bersebelahan dengan Balairong Seri ialah Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja iaitu tempat bagi Majlis Raja-Raja bersidang manakala Bilik Menteri adalah tempat untuk menunggu sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong.Antara kemudahan rekreasi yang disediakan di Istana Negara Jalan Istana ini adalah taman, gelanggang tenis, gimnasium dan kolam renang.


Pada 15 November 2011, tepat jam 9.00 pagi, Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah selamat disempurnakan sebagai menandakan Istana Negara Jalan Istana sebagai tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong semenjak tahun 1957 ini telah berpindah secara rasminya ke Istana Negara Jalan Duta. Istiadat tersebut juga menandakan Pengawal Istana dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja termasuk Pengawal Berkuda turut  menamatkan tugasan di Istana Negara Jalan Istana dan kini menyambung penugasan baru di Istana Negara Jalan Duta.

Kini Istana Negara Jalan Istana di jadikan sebagai Muzium Diraja dan di kendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Muzium Malaysia (03-2272 1896) dan dibuka secara rasmi untuk kunjungan orang ramai.

 

 

rightblock 06

warif

rightblock-Recovered 07rightblock-Recovered 08