Articles

Istana Melawati, Putrajaya

 istanamelawati 01

Istana Melawati merupakan istana kedua Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas Istana Negara. Pembinaan istana ini bermula pada tahun 1999 dan disiapkan pada tahun 2002. Istana ini berkonsep tempat peranginan dan sebagai Istana Hinggap bagi Yang di-Pertuan Agong. Melawati secara harafiah bererti menara kawalan.

 Istana Melawati terletak dipuncak tertinggi Wilayah Persekutuan Putrajaya, di tengah-tengah Bukit Presint 1, Putrajaya bersebelahan dengan Hotel Shangri-la dan Taman Botani Putrajaya. Pada aras ketinggian 125 meter dari paras laut, dari istana ini boleh dilihat hampir keseluruhan wilayah Putrajaya dengan lebih dekat lagi. Istana Melawati juga turut digunakan untuk tujuan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pingat Pengakap Diraja, mesyuarat umum, mesyuarat tertutup serta tempat perjumpaan Pemerintah dan ketua-ketua negeri yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Ia juga merupakan istana moden pertama negara yang menggunakan sepenuhnya nilai adaptasi senireka tradisional Melayu Diraja. Salah satu senibina yang paling menarik yang amat sinonim dengan alam Melayu adalah binaan bumbung perabung limanya. Direka oleh Yang Mulia Raja Datuk Kamarul Bahrin, pemilik Senibahri Arkitek, istana ini terdiri daripada empat sayap utama iaitu Sayap DiRaja - Penginapan peribadi, Dewan Tetamu - Dewan Tetamu Istiadat, Dewan Makan , bilik-bilik kegunaan khusus dan Blok Pentadbiran.  Tiga menara tinggi membentuk struktur jelas menonjol di sebelah sisi dan tengah istana. Menara ini melambangkan menara pengawal silam yang terdapat di istana Melayu lama.Bumbung tiga lapis dengan anjung terperinci dan 'buah butong' tembikar (di setiap bucu) menampakkan cubaan untuk membina semula reka bentuk bumbung Melayu asli tradisi pantai timur. Di tangga utama Dewan Perjumpaan, terdapat Melawati yang diperbuat daripada kayu cengal berbumbungkan keemasan.

Sayap DiRaja terdiri daripada Bilik peraduan, Bilik istirehat diraja, Bilik santapan, Pejabat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Pejabat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Persiraman diraja (kolam mandi diraja), Dapur diraja, Rumah tetamu diraja, Galeri diraja, Bilik mesyuarat utama dan Balairung Seri.


 

 

 

 

rightblock 06

warif

rightblock-Recovered 07rightblock-Recovered 08