Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah diputerikan pada hari Jumaat, 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor. Tuanku Permaisuri ialah anakanda keempat kepada Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Enche’ Besar Khalsom Binti Abdullah.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Taman Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam Johor Bahru (1962-1966), Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan kemudiannya meneruskan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah (1973–1979). Seterusnya di antara tahun 1980 hingga 1986 Baginda telah mengikuti pelbagai kursus antaranya di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan Kursus Sains Politik dan Kemasyarakatan di Universiti Kebangsaan Singapura.

Tanggal 6 Mac 1986 menyaksikan satu detik bersejarah telah tercipta apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong selamat diijab kabulkan dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Pada masa itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong adalah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang. Seterusnya Baginda Permaisuri dimasyhurkan sebagai Tengku Puan Pahang yang ketika itu puteri kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. Perkahwinan bahagia Baginda berdua menjadi lebih sempurna dengan kehadiran sembilan anakanda iaitu empat putera dan lima puteri sebagai tanda pengikat kasih pasangan diraja.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sangat meminati kerja-kerja kreatif seperti menjahit dan menenun. Baginda telah mengangkat Tenun Pahang dengan memasyhurkannya sebagai Tenun Pahang Diraja. Perkembangan industri ini dipantau rapi melalui Badan Penasihat Pembangunan Tenun Pahang Diraja. Baginda juga telah berkenan menubuhkan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam bagi melatih golongan muda khasnya untuk memartabatkan Tenun Pahang Diraja di Kompleks Budaya dan Kraftangan Pulau Keladi pada 2010 selain turut mengasaskan Yayasan Tenun Pahang Diraja. Selain itu, Baginda juga telah mengasaskan projek Tenun Pahang Diraja yang diusahakan di Penjara Penor, Pahang. Malah, Baginda turut menubuhkan syarikat menghasil dan menjual kain tenun yang dikenali sebagai CHEMINAHSAYANG.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong cukup pakar dalam bidang seni jahitan, mengait, jahitan silang (cross stitch) dan sulaman. Kepakaran dan bakat semulajadi yang dianugerahkan kepada Baginda amat dikagumi dan menjadi inspirasi kepada semua wanita.

Justeru, Baginda berbesar hati berkongsi kepakaran itu dengan menubuhkan Kelab jahitan di Kuantan pada awal tahun 1990-an dalam usaha mengajar teknik seni jahitan yang lebih halus. Inisiatif Baginda menubuhkan pusat jahitan melalui Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) pada tahun 2006 membuka lembaran baharu kepada golongan wanita untuk belajar menjahit demi menambah pendapatan. Baginda Tuanku Permaisuri juga terkenal dengan kemahiran memasak pelbagai jenis sajian. Atas minat yang sangat mendalam terhadap bidang masakan ini, Baginda telah menubuhkan Sekolah Masak Tunku Azizah WI Negeri Pahang serta berjaya menghasilkan buku resipi ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang’ pada 2005 dan dua buku resipi lain iaitu ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang’ dan ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang’ pada 2018. Selain itu, Baginda juga telah dilantik sebagai Penaung Diraja Persatuan Jurumasak Pantai Timur dan Malaysia.

Baginda Tuanku Permaisuri turut bergiat aktif dalam aktiviti persatuan beruniform Pandu Puteri dan telah dilantik memegang beberapa jawatan di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Antara jawatan yang pernah disandang oleh Baginda adalah Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Pahang, Naib Yang Dipertua PPPM Peringkat Kebangsaan (1999-2011).

Pada tahun 2005, Baginda telah dilantik sebagai Penaung Diraja, Friends of Asia Pacific WAGGGS (FAPW) yang membabitkan keahlian merangkumi 27 buah negara di Rantau Asia Pasifik. Atas komitmen Baginda dalam memartabatkan golongan wanita pula, Baginda dilantik sebagai Presiden Serantau untuk Asia Tenggara dan Timur Jauh bagi Persatuan Wanita Desa Sedunia dari tahun 2010 hingga 2016. Sebelum itu Baginda adalah Timbalan Presiden Persatuan Wanita Desa Sedunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tahun 2007 hingga 2010. Sebagai Ahli Lembaga Pengarah The Olave Baden-Powell Society iaitu satu pertubuhan wanita yang berpengaruh di seluruh dunia, Baginda bertekad mengembangkan potensi anak-anak gadis dan wanita ke persada antarabangsa dalam bidang Pandu Puteri.

Pada tahun 1989, Baginda dilantik sebagai Presiden Women’s Institute of Pahang yang menjadi organisasi wanita pertama yang ditubuhkan di negara ini. Baginda telah membawa persatuan ini sehingga ke peringkat antarabangsa dan didaftarkan sebagai ahli Associated Country Women of the World (ACWW), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggabungkan 10 juta ahli dari 70 buah negara seluruh dunia.

Sebagai Presiden Serantau dan Timbalan Presiden Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu Baginda telah menghadiri lima persidangan sedunia Persatuan Wanita Desa Dunia di Tasmania, Australia; Arkansas, Amerika Syarikat; Finland, India, United Kingdom dan beberapa persidangan serantau. Baginda turut dinamakan sebagai calon Presiden ACWW pada persidangan di  Melbourne, Australia yang dijadualkan pada April 2019. Namun Baginda terpaksa menarik diri kerana komitmen Baginda ketika ini.

Baginda juga bertekad untuk membantu wanita yang mempunyai masalah untuk memperoleh cahayamata dengan menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada tahun 2004. Sehingga kini seramai 493 pasangan telah mendapat manfaat daripada penajaan prosedur perubatan yang dibiayai sepenuhnya oleh TAFF dan 115 bayi telah berjaya dilahirkan menerusi kaedah ini.

Sesuai dengan pepatah ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’, Baginda sering mengetepikan protokol setiap kali bercemar duli turun padang menyantuni rakyat yang ditimpa musibah. Baginda juga tidak menghiraukan kedudukan tinggi Baginda dalam hierarki Negara dengan melawat dan membuat aktiviti bersama-sama penghuni tirai besi. Maka tidak hairanlah jika KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah mendapat jolokan ‘Permata Hati Rakyat’.