PANDU PUTERI BERPERANAN PENTING MENYEMAI PERPADUAN, EMPATI & KEPEDULIAN SOSIAL - RAJA PERMAISURI AGONG
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) bukan sahaja menjadi platform pembangunan diri anak gadis, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyemai nilai-nilai perpaduan, empati dan kepedulian sosial.
“Inilah masanya generasi baharu bersedia memimpin dan menyumbang secara aktif dalam pelbagai lapangan kehidupan yang tidak kurang cabarannya, seiring dengan kepesatan kemajuan teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Jadikanlah Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebagai model pembakar semangat perpaduan negara ini supaya terus diperkukuh dan diperluas kepada seluruh masyarakat demi kestabilan dan kemajuan negara yang kita cintai,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah sempena Majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2026 di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah, hari ini (25 Januari).
Turut berangkat menerima keberangkatan Raja Permaisuri Agong, DYTM Che Puan Muda Zaheeda Binti Mohamad Ariff, Raja Puan Muda Kedah, merangkap Yang Dipertua PPPM Cawangan Kedah dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Perdana Menteri dan Yang Dipertua PPPM.
Turut berangkat hadir, YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Dato’ Seri Fatimahluz Zahra’ binti Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, selaku Yang Dipertua PPPM Cawangan Terengganu.
