RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MALAYSIA #QURANHOUR 2026
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis Malaysia Quran Hour 2026 di Masjid Al-Sultan Abdullah, Kuala Lumpur, hari ini (30 Ogos).
Dianjurkan serentak bersempena Hari Kebangsaan di seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang dengan tema “Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera”, Surah Al-Baqarah, Surah Al-Muzzammil dan Surah Al-Balad dipilih sebagai panduan memperkukuh hubungan dengan Allah, membina kekuatan jiwa, memperkukuh ketahanan menghadapi cabaran, serta kepedulian terhadap sesama manusia.
Surah al-Muzzammil mengajak manusia membina kekuatan melalui hubungan yang kukuh dengan Allah SWT, manakala Surah al-Balad mengingatkan bahawa kehidupan manusia tidak terlepas daripada ‘kabad’, iaitu perjuangan, kesukaran dan pendakian.
Jalan untuk melepasi pendakian itu bukan dengan mementingkan diri, tetapi dengan membebaskan manusia daripada belenggu, memberi makan ketika kelaparan, membela golongan yang memerlukan serta membina masyarakat yang saling berpesan dengan kesabaran dan kasih sayang.
Gabungan kedua-dua surah ini membentuk kerangka perubahan yang jelas:
“Kukuhkan jiwa, bingkas menghadapi cabaran dan bergerak membawa manfaat
kepada manusia.”
