YANG DI-PERTUAN AGONG KUNJUNGI KOMPLEKS SMOLNY DI ST PETERSBURG
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat Kompleks Smolny yang merupakan sebuah bangunan bersejarah penting di St Petersburg, Persekutuan Rusia pada hari ini (25 Januari).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke Kompleks Smolny yang kini berperanan sebagai pejabat pentadbiran St Petersburg, disambut oleh Alexander Beglov, Gabenor St Petersburg.
Hadir sama, Evgeny Dmitrievich Grigoriev, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri St Petersburg.
Sultan Ibrahim turut berkenan melawat ‘Smolny Bunker’ atau kubu perlindungan bawah tanah yang terletak di bawah Kompleks Smolny, dibina pada tahun 1937 dengan diiringi Beglov.
Seusai selesai lawatan, Seri Paduka Baginda diraikan dalam satu majlis santapan malam oleh Beglov.
Turut hadir, TYT Dato’ Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia.
Pada majlis santapan, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan tayangan video mengenai bandaraya St Petersburg.
Beglov turut mempersembahkan taklimat ringkas mengenai St Petersburg yang bukan sahaja menjadi antara destinasi popular pelancong dari luar negara, malah terdapat hampir 800 jambatan, 94 (sungai) dan 200 muzium di bandaraya berkenaan.
Seri Paduka Baginda tiba di St Petersburg bagi lawatan khas di atas jemputan khas Tuan Yang Terutama (TYT) Vladimir V Putin, Presiden Persekutuan Rusia.
