YANG DI-PERTUAN AGONG TITAH PERKUKUHKAN KAWALAN KESELAMATAN SEMUA LAPANGAN TERBANG DAN PINTU MASUK NEGARA

YANG DI-PERTUAN AGONG TITAH PERKUKUHKAN KAWALAN KESELAMATAN SEMUA LAPANGAN TERBANG DAN PINTU MASUK NEGARA

YANG DI-PERTUAN AGONG TITAH PERKUKUHKAN KAWALAN KESELAMATAN SEMUA LAPANGAN TERBANG DAN PINTU MASUK NEGARA

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kementerian serta agensi yang berkaitan digesa supaya meningkatkan kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.
Seri Paduka Baginda, bertitah langkah berkenaan bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Sultan Ibrahim, bertitah aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam.
Pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini (8 Ogos).
Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), selain isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar siasatan dijalankan 'sehingga ke lubang cacing' bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

RAJA PERMAISURI AGONG SEMPURNAKAN MAJLIS PENGURNIAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-16

RAJA PERMAISURI AGONG SEMPURNAKAN MAJLIS PENGURNIAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-16

RAJA PERMAISURI AGONG SEMPURNAKAN MAJLIS PENGURNIAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-16

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-16 di M Resort Hotel, Kuala Lumpur, hari ini (6 Ogos).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan; Datuk Wan Hashim Wan Rahim, Ketua Setiausaha KPM; Datuk Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan ASN kepada Allahyarham Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) yang sekali gus membawa gelaran Sasterawan Negara ke-16.
Anugerah berkenaan telah diterima oleh isteri Allahyarham Abdul Rahman Napiah, Puan Hajah Salmah Ali.
Mana Sikana, nama pena Allahyarham merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden.
Selama lebih enam dekad, Allahyarham menyumbang sebagai pengarang kreatif, sarjana, pengkritik sastera, ahli teori dan pendidik yang memperkaya perkembangan bahasa, sastera dan tradisi ilmu.
ASN ialah anugerah tertinggi yang dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan berterusan terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.
Anugerah berkenaan merupakan satu usaha berterusan untuk memupuk semangat cinta terhadap bahasa dan kesusasteraan dalam kalangan masyarakat serta menjamin kesinambungan tradisi penulisan yang bermutu tinggi.

RAJA PERMAISURI AGONG TERIMA MENGADAP BADAN KEBAJIKAN ‘THE LOST FOOD PROJECT’

RAJA PERMAISURI AGONG TERIMA MENGADAP BADAN KEBAJIKAN ‘THE LOST FOOD PROJECT’

RAJA PERMAISURI AGONG TERIMA MENGADAP BADAN KEBAJIKAN ‘THE LOST FOOD PROJECT’

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap rombongan ‘The Lost Food Project’, sebuah persatuan kebajikan yang menjalankan aktiviti sumbangan makanan kepada golongan memerlukan.
Pertemuan berlangsung lebih satu jam di Istana Negara, semalam (5 Ogos) membincangkan pengurusan sumber makanan yang cekap untuk disalurkan kepada golongan berkenaan.
Rombongan ‘The Lost Food Project’ diketuai oleh Suzanne Mooney, Pengasasnya dan Geoff King, Presiden.

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP PREMIER SARAWAK

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP PREMIER SARAWAK

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP PREMIER SARAWAK

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Premier Sarawak.
Sesi mengadap bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (5 Ogos).
Hadir sama, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Dato’ Mohd Noorazam Osman, Pegawai Kewangan Negeri Johor.
Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda berlangsung selama hampir sejam.

RAJA PERMAISURI AGONG TERIMA MENGADAP ISTERI SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR

RAJA PERMAISURI AGONG TERIMA MENGADAP ISTERI SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR

RAJA PERMAISURI AGONG TERIMA MENGADAP ISTERI SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap Datin Siti Azizah Omar, isteri kepada Setiausaha Kerajaan Johor, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini (4 Ogos).
Pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan membincangkan perancangan untuk program-program kekeluargaan dianjurkan di semua daerah dalam negeri Johor melalui kerjasama antara Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Pejabat-pejabat Daerah.
“Saya berharap untuk mengadakan program sedemikian untuk memberi masyarakat B40 satu ruang untuk bersuka ria seisi keluarga dan mencipta kenangan manis bersama,” titah Seri Paduka Baginda.
Turut hadir, Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru bersama isteri, Nurul Asliza Salim; Mohd Ezzuddin Sanusi, Pegawai Daerah Segamat bersama isteri, Engku Noorwidainie Engku Aman; Wan Nor Hanida Wan Ismail, isteri Pegawai Daerah Mersing, dan Hishamuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121