LOGO DAN PANJI-PANJI DIRAJA
Sebagai Ketua Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah simbol kepada ketaatan warga Malaysia kepada Undang-undang dan Perlembagaan. Panji-panji Diraja adalah simbol kepada kewujudan Institusi Yang di-Pertuan Agong. Panji-panji Diraja yang berwarna kuning mempunyai Jata Malaysia di tengah-tengah yang dikelilingi oleh dua karangan padi. Warna kuning adalah warna Diraja. Karangan padi yang berwarna keemasan melambangkan kemewahan atau kemakmuran.
Rekabentuk Jata Malaysia di tengah-tengah adalah menunjukkan:
- Bulan serta bintang yang mempunyai 14 cabang adalah menunjukkan 14 buah negeri yang menjadi komponen negeri dalam Malaysia yang juga menunjukkan bahawa Islam adalah agama bagi Malaysia.
- Lima bilah keris adalah melambangkan lima buah negeri-negeri Melayu Bukan Bersekutu (sebelum merdeka) iaitu Johor, Kedah, perlis, Kelantan dan Terengganu.
- Di kiri kanan perisai adalah melambangkan negeri-negeri yang tidak beraja iaitu Melaka, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.
- Manakala empat panel perisai yang mempunyai ukuran yang sama di tengah-tengah perisai yang mengandungi warna-warna putih adalah negeri Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam dan kuning adalah warna negeri Perak; merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini adalah asalnya negeri-negeri Melayu Bersekutu.