PENGENALAN INSTITUSI YANG DI-PERTUAN AGONG

Asal-Usul Kesultanan Melayu

Sejarah Kerajaan Kesultanan Melayu di Malaysia telah bermula dari Kerajaan Langkasuka Purba dan Kerajaan Melayu Melaka. Kebanyakan Kesultanan negeri di Malaysia berakar dari Kerajaan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1400 masihi. Walaubagaimanapun, Kerajaan Kesultanan Kedah terkecuali kerana asal usulnya berasal dari Kerajaan Langkasuka iaitu sebuah kerajaan purba yang diasaskan pada abad ke-2 masihi. Kerajaan Kedah juga merupakan kerajaan yang paling tua di Malaysia dan berkemungkinan juga Kerajaan yang paling tertua di dunia.
Image

Penubuhan Institusi Yang Di-Pertuan Agong

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Perakuan Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat cuba menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu. Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Jika menurut tempoh lama raja memerintah, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor) yang dilantik menjadi Sultan pada tahun 1895, merupakan sultan yang paling lama memerintah, tetapi baginda menolak perlantikan tersebut disebabkan telah lanjut usia (ketika itu baginda berusia 84 tahun). Yang kedua dalam turutan, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang) yang memerintah pada tahun 1932, tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Yang lama memerintah seterusnya, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada tahun 1933, kemudiannya telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu pada masa itu.
Image

Senarai Raja-raja yang hadir ketika Istiadat Pertabalan SPB Yang di-Pertuan Agong Pertama adalah

1. Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni
Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah
Sultan Pahang 1932-1974
2. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan 1933-1960
3. Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni
Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah
Sultan Selangor 1938-1942
1945-1960
4. Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Sultan Kedah 1943-1958
5. Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV Al-Sultan Kelantan 1944-1960
6. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail Raja Perlis 1945-2000
7. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III Sultan Terengganu 1945-1979
8. Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah Sultan Perak 1948-1963
9. Tunku Ismail ibni Sultan Sir Ibrahim Tunku Mahkota Johor 1959-1981

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121