πŠπ”π‘π’π”π’ 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐉𝐄𝐍𝐀𝐙𝐀𝐇 ππ„π‘πˆππ†πŠπ€π“ πˆπ’π“π€ππ€ 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 πŸπŸŽπŸπŸ“

Bahagian Hal Ehwal Islam Istana Negara telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Peringkat Istana Negara Tahun 2025 dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Seramai 30 orang warga Istana Negara telah menyertai kursus ini yang melibatkan pelbagai Bahagian/Seksyen terdiri daripada 20 orang peserta lelaki dan 10 orang peserta wanita.
Kursus ini berlangsung selama dua hari iaitu hari pertama dengan sesi teori dan praktikal di Istana Negara. Manakala pada hari kedua dengan praktikal pengurusan jenazah sebenar di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh.
Pada hari pertama kursus dimulakan dengan ceramah teori pengurusan jenazah yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohammad Mukhlis bin Rahim, Penolong Pengarah JAWI dan diikuti dengan amali pengurusan jenazah dengan bimbingan oleh 4 orang fasilitator.
Pada hari kedua, para peserta telah diberikan peluang untuk menguruskan jenazah yang sebenar. Jenazah yang diuruskan ialah jenazah wanita muallaf berwaris (baru memeluk islam sehari sebelum meninggal dunia), jenazah lelaki dewasa dan bayi (8 bulan dalam kandungan) yang tidak mempunyai waris. Para peserta telah menguruskan kesemua jenazah ini bermula dengan memandikan, mengkafankan, solat hingga mengiringi kesemua jenazah ke liang lahad untuk dikebumikan. Pengurusan jenazah ini dilakukan dengan teliti, tertib dan penuh rasa amanah.
Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Azuan Effendy bin Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara.
Turut hadir ke majlis ini ialah YBrs. Ustaz Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Pengarah Operasi JAWI dan Ustaz Razi bin Hassan, Penolong Pegawai Agama Istana Negara.
Dalam ucapan penutup, YBhg. Datuk Paduka Maharaja Lela berkata ilmu pengurusan jenazah sangat penting kerana ia adalah fardu kifayah yang sangat dituntut, menjaga kehormatan (karamah) Muslim, mengukuhkan iman, memastikan jenazah diurus mengikut syariat, dan melatih kita mengenali hakikat kematian serta memperingatkan kita akan akhirat.
Beliau juga telah mengumumkan penubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Istana Negara yang akan dianggotai oleh para peserta yang terlibat dengan kursus ini.
Dalam masa yang sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada kepada JAWI atas kerjasama dan tenaga penceramah dan fasilitator yang sangat berpengalaman,serta kepada semua urus setia dan peserta yang menjayakan kursus ini.
Semoga kursus ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun bagi memberikan pendedahan berkaitan pengurusan jenazah kepada warga Istana Negara.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121