YANG DI-PERTUAN AGONG TITAH PERKUKUHKAN KAWALAN KESELAMATAN SEMUA LAPANGAN TERBANG DAN PINTU MASUK NEGARA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kementerian serta agensi yang berkaitan digesa supaya meningkatkan kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.
Seri Paduka Baginda, bertitah langkah berkenaan bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Sultan Ibrahim, bertitah aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam.
Pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini (8 Ogos).
Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), selain isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar siasatan dijalankan 'sehingga ke lubang cacing' bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).