ADAB DAN BUDAYA SALING MENGHORMATI ADALAH ASAS KEHARMONIAN - RAJA PERMAISURI AGONG
Budaya saling menghormati merupakan antara asas keharmonian yang sentiasa menjadi pegangan rakyat Malaysia, sekali gus menyumbang kepada perpaduan serta kesejahteraan negara.
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, sentiasa menitikberatkan betapa pentingnya memelihara adab dan nilai hormat-menghormati dalam kehidupan bermasyarakat sama ada di dalam atau luar negara.
Seri Paduka Baginda mengingatkan khususnya kepada umat Islam dalam negara akan petikan hadis riwayat Al-Bukhari, seperti berikut:
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
Mengimbas kembali, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menyantuni serta beramah mesra bersama lebih 100 pelancong dari pelbagai negara di pintu masuk utama Istana Negara pada Februari lalu.
Ini mencerminkan sifat mesra serta keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap rakyat dan pelancong yang berkunjung ke negara ini.
