BUSANA RAJA PERMAISURI AGONG DIHIAS PERLAMBANGAN PENGHORMATAN PERSAHABATAN ANTARA MALAYSIA DAN UZBEKISTAN

BUSANA RAJA PERMAISURI AGONG DIHIAS PERLAMBANGAN PENGHORMATAN PERSAHABATAN ANTARA MALAYSIA DAN UZBEKISTAN

Lawatan Khas KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke negara Uzbekistan membuka lembaran baharu dalam perhubungan dua hala negara ini, terutamanya dalam sektor pendidikan tinggi.
Sebagai penghormatan kepada persahabatan antara Malaysia dan negara Asia Tengah itu, busana pemakaian Seri Paduka Baginda telah dipilih dengan penuh teliti.
Bagi keberangkatan ke Persidangan Diraja mengenai “Tradisi Saintifik Dalam Ketamadunan Islam : Sumber, Potensi dan Cabaran” di Pusat Ketamadunan Islam (CIC) Tashkent pada 5 Mei, Raja Permaisuri Agong berkenan mengenakan baju kurung Kain Benang Johor berwarna “turquoise” (biru muda).
Baju itu telah dipadankan dengan sehelai selendang kain “abr” (bermaksud awan dalam bahasa Parsi) tempatan Tashkent berwarna sama bermotifkan corak bernama “Ikkat” yang dipandang tinggi dalam budaya politik dan diplomasi Uzbek.
Busana Raja Permaisuri Agong dilengkapi dengan sebutir kerongsang bulan sabit dan bintang sebagai simbol agama Islam.
Warna biru muda “turquoise” dipilih bersempena warna kubah utama CIC yang berketinggian kira-kira 65 meter dan merupakan salah satu tumpuan visual utama kompleks berkenaan yang melambangkan seni bina tradisional Islam.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121