GRADUAN PERLU MENJADI PEMIMPIN BERINTEGRITI, SUMBANG ILMU KEPADA NEGARA - YANG DI-PERTUAN AGONG

GRADUAN PERLU MENJADI PEMIMPIN BERINTEGRITI, SUMBANG ILMU KEPADA NEGARA - YANG DI-PERTUAN AGONG
 
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, graduan perlu meletakkan diri mereka sebagai pembina tamadun yang unggul dengan menggunakan ilmu yang diperolehi untuk kemajuan ummah serta berperanan menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin muda negara.
Seri Paduka Baginda, bertitah ilmu yang diperoleh di universiti merupakan amanah yang harus dikembalikan semula kepada masyarakat dan negara.
Sultan Ibrahim bertitah, graduan diingatkan bahawa ilmu bukan sekadar untuk kemajuan diri sendiri tetapi lebih penting bagaimana boleh digunakan untuk kebaikan semua.
“Ini kerana sejarah tamadun Islam membuktikan ilmu boleh membawa umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran.
“Negara menaruh harapan agar graduan boleh menjadi pemimpin muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi turut memiliki integriti serta dedikasi untuk berkhidmat kepada negara,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Istiadat Konvokesyen Ke-15 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada hari ini (2 Disember).
Berangkat sama, YAM Tunku Puteri Dr Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar.
Turut hadir, Tan Sri Dr Mohd Anwar Mohd Nor, Pro-Canselor UPNM; YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan dan Jeneral Tan Sri Datuk Mohd Nizam Jaffar, Panglima Angkatan Tentera.
Sultan Ibrahim yang juga Canselor UPNM, bertitah Istiadat Konvokesyen seperti ini bukan sahaja menandakan kejayaan akademik para graduan tetapi, ianya merupakan permulaan perjalanan dalam menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
“Kekuatan sebuah negara terletak kepada graduan muda. Kuat atau lemah graduan pada hari ini adalah merupakan tanda kepada kejayaan atau kegagalan negara pada masa hadapan,” titah Seri Paduka Baginda.
Memetik pesanan Saidina Ali bin Abi Talib yang berkata: "Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini."
Justeru, titah Seri Paduka, graduan tidak boleh leka dalam mengharungi arus kemodenan dan terlibat dalam perkara yang tidak sihat.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121