HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-BAHRAIN BERPOTENSI BESAR
Perhubungan diplomatik dan persahabatan ikhlas antara Malaysia dan Bahrain mempunyai potensi kerjasama yang besar.
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, negara itu merupakan rakan strategik yang penting untuk Malaysia dan berharap dapat mengukuhkan kerjasama ekonomi seiring dengan Visi Ekonomi Bahrain 2030.
“Bahrain dan Malaysia saling menghormati, dan mempunyai semangat persaudaraan, di samping berkongsi nilai-nilai, aspirasi serta komitmen kepada keamanan, kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat.
“Saya harap lawatan saya kali ini akan membuka lembaran baharu dalam membentuk hala tuju masa hadapan perhubungan kedua-dua negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian dalam titah ucapan sebelum diraikan dalam satu majlis santapan negara bersempena lawatan negara ke Bahrain semalam (7 November).
Raja Hamad turut bertitah menzahirkan komitmen ke arah menjadi rakan strategik jangka panjang yang ikhlas dan membina untuk Malaysia dengan mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Pertumbuhan Malaysia yang memberangsangkan telah dicapai melalui kecemerlangan dalam bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian — bidang-bidang yang turut menjadi kekuatan Bahrain.
“Oleh itu, kita mempunyai banyak peluang untuk saling memperoleh manfaat dalam sektor seperti perbankan, teknologi kewangan (fintech), pelancongan, pertanian dan pembangunan infrastruktur.
“Tuanku dan negara Tuanku telah menjadi saudara serta sekutu setia kepada Bahrain, dan dengan memperbaharui penghargaan atas kunjungan Tuanku ini, saya dengan tulus berharap agar persahabatan kita akan terus berkembang dan makmur pada tahun-tahun yang akan datang.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Istana Sakhir, Zallaq, telah disambut oleh Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain bersama Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain serta Keluarga Diraja Bahrain.
Berangkat sama mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
