HUBUNGAN MALAYSIA-PERSEKUTUAN RUSIA TERUS BERKEMBANG SECARA KONSISTEN - SULTAN IBRAHIM
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah tahun depan menandakan satu detik penting dalam hubungan Malaysia dan Persekutuan Rusia dengan
sambutan Ulang Tahun Ke-60 hubungan diplomatik antara dua negara.
Seri Paduka Baginda, bertitah sejak tahun 1967, kerjasama antara kedua-dua negara terus berkembang secara konsisten menjadi hubungan yang kukuh dan produktif.
Sultan Ibrahim, bertitah pertemuan bersama
TYT Vladimir V Putin, Presiden Persekutuan Rusia di St Petersburg pada awal Januari lalu, berlangsung dalam suasana konstruktif dan membuahkan hasil positif apabila kedua-dua pemimpin berkongsi aspirasi yang sama untuk mempertingkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
“Perjalanan panjang yang ditempuhi bersama serta pencapaian signifikan dalam hubungan Malaysia-Persekutuan Rusia wajar diraikan menerusi sambutan yang bermakna dan bersejarah,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada pertemuan empat mata bersama Presiden Putin di Kremlin, Moscow pada hari ini (9 Mei).
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke Kremlin disambut mesra Presiden Putin.
Seri Paduka Baginda turut berkenan membalas jemputan dan penghormatan yang diberikan Persekutuan Rusia dengan menjemput Presiden Putin mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada tahun 2027 sempena sambutan Jubli Intan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
