DAULAT TUANKU
Istana Malam
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1447H
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1447H

ISTIADAT MELETAK KERJA PERMULAAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KEPUTERAAN RASMI SULTAN JOHOR

ISTIADAT MELETAK KERJA PERMULAAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KEPUTERAAN RASMI SULTAN JOHOR

Upacara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bermula secara rasminya hari ini (6 April) dengan berlangsungnya Istiadat Meletak Kerja di Istana Besar, Johor Bahru.
Istiadat disempurnakan dengan menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor pada jam 8.30 pagi.
Istiadat bermula dengan perarakan membawa masuk bendera ke Tugu Peringatan Istana Besar oleh 10 anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ), disusuli upacara mengikat bendera.
Upacara menaikkan bendera didahului dengan satu pengisytiharan istiadat oleh Dato’ Obet Tawil, Dato’ Penghulu Istiadat sambil memegang Cokmar Dato’ Penghulu Istiadat diikuti bacaan doa oleh Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Johor.
Dalam pengisytiharan itu, Dato’ Obet memaklumkan bendera akan berkibar mulai hari ini dan akan diturunkan setelah tamat sambutan Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Johor.
Istiadat Meletak Kerja turut diiringi pasukan pancaragam dan pelepasan tujuh das tembakan meriam oleh 41 Bateri RAD (Istiadat).
Upacara istiadat turut dihadiri YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; Dato’ Dr Abdul Rahim Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor dan Dato’ Mohammed Ridha Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta barisan tertinggi kepemimpinan Kerajaan Negeri Johor dan ketua-ketua jabatan.
Kali terakhir Istiadat Meletak Kerja diadakan pada November 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121