KAIN BENANG JOHOR MENCURI TUMPUAN DI UZBEKISTAN
Kain Benang Johor yang diperagakan oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ketika Lawatan Khas ke Uzbekistan baru-baru ini merupakan Tenun Corak Muar iaitu rekaan kain berkotak unik yang diinovasi oleh Yayasan Warisan Johor dengan meletakkan motif atau bunga hias di antara kotak serta kepala kain berjalur.
Jenis tenunan ini diilhamkan daripada kumpulan besar Kain Tartan Johor yang berkait rapat dengan sejarah Kesultanan Johor Moden.
Negeri Johor mempunyai corak kain Tartan Scotland khas (Scottish Kilt) sendiri yang dihadiahkan oleh mendiang Queen Victoria, Ratu England kepada Almarhum Sultan Sir Abu Bakar ketika keberangkatan Almarhum ke Istana Balmoral, Scotland pada tahun 1880.
Ia merupakan penghormatan kepada Sultan Abu Bakar serta perlambangan persahabatan yang rapat antara negeri Johor dan United Kingdom.
Pada tahun 1930, Almarhum Sultan Sir Ibrahim turut dianugerahkan corak kain Tartan yang direka khas untuk Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
Baju kurung Raja Permaisuri Agong turut bercirikan Kurung Pesak, warisan tradisi Melayu yang dipercayai wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka, dengan rekaan anggun dan longgar sebagai cerminan budaya kesopanan.
Ciri khas pesak — kain tambahan di sisi yang memberikan keselesaan dan kebebasan bergerak.
Baju kurung pesak yang dikenali hari ini sering dikaitkan dengan gaya Teluk Belanga yang diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar di Johor pada tahun 1800-an.
Pilihan warna-warna ceria Raja Zarith Sofiah juga perlambangan rasa gembira dan bersemangat persaudaraan sepanjang lawatan.
Pada pertemuan bersama Wanita Pertama Uzbekistan, Ziroat Mirziyoyeva, Seri Paduka Baginda berkenan memperagakan baju kurung moden bermanik sarat di bahagian lengan dan kaki baju, rekaan Dato’ Radzuan Radziwill, berwarna merah jambu dengan songket yang diilhamkan mengikut corak asal Tartan Johor.
Ia diikuti baju kurung Benang Johor berpesak warna biru muda bermotif Tiara Permaisuri Johor pada baju dan sarung ketika berangkat ke Persidangan Diraja Tradisi Sains dalam Ketamadunan Islam di Pusat Ketamadunan Islam, Tashkent.
Bagi hari terakhir Lawatan Khas di Samarkand, Seri Paduka Baginda memakai baju kurung Benang Johor berpesak warna hijau, juga dengan motif Tiara Permaisuri Johor yang dipadankan dengan kain corak Tartan semasa keberangkatan ke Kompleks Imam Bukhari dan juga Registan Square.
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Warisan Johor serta pereka fesyen terkemuka Dato Radzuan Radziwill atas rekaan baju kurung Kain Benang Johor yang digunakan sepanjang Lawatan Khas Seri Paduka Baginda.
