KERJASAMA PENDIDIKAN MALAYSIA-UZBEKISTAN MENUNJUKKAN KOMITMEN BERSAMA UNTUK KEPENTINGAN ILMU

KERJASAMA PENDIDIKAN MALAYSIA-UZBEKISTAN MENUNJUKKAN KOMITMEN BERSAMA UNTUK KEPENTINGAN ILMU

Kerjasama dalam bidang pengajian dan penyelidikan ilmu antara Malaysia dan Uzbekistan adalah penting dalam membina persekitaran untuk perkembangan ilmu yang lebih mendalam dan berintegriti.
Titah KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, walaupun dipisahkan oleh geografi, namun keterhubungan melalui penyebaran ilmu telah lama wujud.
“Dunia Melayu juga telah lama menerima manfaat daripada para sarjana yang datang dari seluruh pelosok dunia, dan nama-nama yang dikaitkan dengan wilayah (Asia Tengah) seperti Maa Waraa’ al-Nahr dan Samarkand tidak asing lagi dalam ingatan intelektualnya.
“Ini mengingatkan kita bahawa tamadun Islam tidak pernah menjadi milik satu kaum sahaja. Ia telah dilestarikan merentasi pelbagai wilayah melalui pengembaraan, penyebaran, terjemahan, pengajaran, dan penghormatan bersama terhadap ilmu pengetahuan,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong bertitah ucapan diraja yang menjadi pembuka tirai kepada Persidangan Diraja “Tradisi Sains Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran” yang berlangsung di Pusat Ketamadunan Islam (CIC), Tashkent, Uzbekistan, hari ini (5 Mei).
Titah Seri Paduka Baginda, perkongsian antara Malaysia dan Uzbekistan dalam persidangan berkenaan membawa kepentingan yang melangkaui sekadar urusan pentadbiran.
“Ia menunjukkan komitmen bersama terhadap keilmuan, pemeliharaan, dan pembaharuan. Ini menunjukkan bahawa cara terbaik untuk kita menghargai masa lalu bukanlah dengan hanya membicarakannya dari jauh, tetapi dengan membina keadaan yang membolehkan ilmu terus diterokai.
“Uzbekistan merupakan salah satu tanah air bersejarah bagi keilmuan Islam. Nama-nama yang dikaitkan dengan wilayah ini masih tetap segar disegani dan dihormati di seluruh dunia Islam.
“Apabila kita mengimbas kembali tokoh-tokoh seperti Imam al-Bukhari, Imam al-Maturidi, dan al-Biruni, kita diingatkan bahawa wilayah ini pernah menjadi pusat sesebuah tamadun di mana ilmu diterokai dengan penuh ketelitian dan kemuliaan,” titah Raja Zarith Sofiah.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121