MAJLIS BERANDAM SURAI PUTERI PEMANGKU SULTAN JOHOR SELAMAT DILANGSUNGKAN
Majlis Berandam Surai buat anakanda kelima dan Puteri ketiga DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selamat dilangsungkan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini (15 Mei).
YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selamat melahirkan YAM Tunku Khadeeja Khayra Iskandariah Binti Tunku Ismail pada 5 April di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Majlis diserikan lagi dengan keberangkatan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta Keluarga Diraja Johor.
Turut berangkat, DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor; YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim bersama suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah, dan YAM Tunku Besar Zabedah Binti Almarhum Sultan Iskandar.
Upacara Potong Jambul dimulakan oleh Seri Paduka Baginda berdua diikuti kerabat-kerabat diraja sambil diiringi selawat ke atas Nabi yang diketuai Mufti Johor, Dato' Yahya Ahmad.
