MENEROKA PELUANG PEGAWAI JCS PERTINGKATKAN ILMU DAN KEUPAYAAN BERSAMA OCIS
Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (PTNJ/JCS) dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) meneroka peluang kerjasama bagi mewujudkan satu program khas untuk meningkatkan ilmu dan tahap keupayaan JCS dalam penyediaan perkhidmatan kepada rakyat.
Diilhamkan oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, kerjasama yang dicadangkan ini juga bagi melatih dan melahirkan pegawai muda yang lebih dinamik serta berkebolehan, seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor untuk sentiasa meningkatkan tahap keupayaan JCS.
“Sejarah menunjukkan banyak aspek sistem pentadbiran kita disesuaikan daripada United Kingdom. Program kerjasama ini akan meningkatkan pengetahuan tentang amalan pembuatan keputusan dalam kerajaan, seperti contoh di Whitehall, yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan England.
“Ilmu ini akan membuka mata dan membantu JCS dalam merangka serta menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik untuk rakyat,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian selepas mengadakan lawatan ke OCIS di Oxford, United Kingdom semalam (11 Disember).
Turut diutarakan, penglibatan Pegawai Tadbir Agama Johor untuk turut serta dengan rakan-rakan JCS dalam program bersama OCIS bagi tujuan yang sama.
“Ini juga penting dan bermanfaat bagi pegawai berkenaan kerana OCIS menekankan aplikasi ilmu pengetahuan Islam dalam pelbagai bidang disiplin seperti ekonomi, pembangunan antarabangsa dan sejarah,” titah Raja Zarith.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda telah disambut oleh Dr. Farhan Ahmad Nizami, Pengarah OCIS.
Pusat ini ditubuhkan pada tahun 1985, sebagai sebuah institusi yang menjalankan kajian lanjutan mengenai Islam dan dunia Islam.
Pentadbiran pusat ini dikendalikan oleh Lembaga Pemegang Amanah yang dianggotai oleh para sarjana serta tokoh kenegaraan dari seluruh dunia, dan Timbalan Pengerusi lembaga ini adalah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Lawatan Raja Permaisuri Agong diiringi Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; Dato’ Dr Badrul Hisham Kassim, Pengarah Akademi JCS; Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor; dan YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
