PERTINGKATKAN KAJIAN TENTANG KETAMADUNAN MELAYU

PERTINGKATKAN KAJIAN TENTANG KETAMADUNAN MELAYU
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah menggalakkan lebih banyak kajian dijalankan berkenaan sejarah ketamadunan Melayu serta perhubungan dengan tamadun lain di peringkat antarabangsa.
Seri Paduka Baginda bertitah, kajian akademik yang lebih mendalam ke atas sejarah tamadun Melayu dan penerapannya di Malaysia akan mengukuhkan lagi jati diri bangsa.
“Dalam kita sentiasa merancang pertumbuhan dan kemajuan untuk masa hadapan, kita mesti juga melihat kepada sejarah tamadun bagi mempelajari teladan zaman dahulu. Terdapat pelbagai sumber penyelidikan di seluruh dunia termasuk di British Library ini.
“Ini akan mengukuhkan jati diri dengan penerapan kesedaran yang lebih mendalam tentang identiti Bangsa Melayu,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong bertitah demikian selepas berangkat membuat lawatan ke British Library di London, United Kingdom semalam (16 Disember).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda beserta rombongan telah disambut oleh Encik Richard Davies, Pengelola British Library, Dato’ Dr Annabel Teh Gallop, Ketua Kurator Bahagian Asia Tenggara, dan Cik Luisa Elena Mengoni, Ketua Koleksi Asia dan Afrika perpustakaan itu.
Raja Zarith Sofiah telah dipersembahkan penerangan tentang surat-surat Kesultanan Melayu dan hikayat serta puisi lama termasuk surat-surat purba Kesultanan Johor oleh Dato’ Dr Annabel, seorang pakar sejarah persuratan Nusantara.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor; Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor dan Dato’ Dr Badrul Hisham Kassim, Pengarah Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121