PRODUK KRAFTRANGAN DIJADIKAN CENDERAKENANGAN ISTANA NEGARA, SEBUAH PENGHARGAAN BUAT GOLONGAN WANITA DAN ORANG ASLI - RAJA PERMAISURI AGONG
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap dan menyaksikan pameran produk daripada Komuniti Tukang Jahit Malaysia dan The Asli.co di Istana Negara, hari ini (26 November).
Komuniti Tukang Jahit Malaysia merupakan sebuah organisasi yang mengeluarkan barangan kraftangan jahitan hasil buatan tangan golongan wanita B40 dan ibu tunggal.
The Asli.co pula adalah sebuah organisasi yang membantu golongan Orang Asli memasarkan produk barangan kecantikan dan hasil kraftangan mereka.
“Sebagai menghargai golongan wanita B40 dan Orang Asli, saya berhasrat untuk menjadikan barangan yang dihasilkan oleh kedua-dua kumpulan ini sebagai cenderakenangan daripada Istana Negara.
“Saya juga berharap pihak lain seperti syarikat korporat serta individu turut membantu membuat tempahan barangan kraf sebagai sokongan kepada mereka sekali gus dapat membantu dari segi kewangan kerana mereka menerima bayaran bagi setiap hasil kraftangan yang dihasilkan,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan pandangan kepada kedua-dua kumpulan berkenaan supaya barangan hasil kraftangan mereka seperti anak patung dimasukkan elemen perpaduan yang mencerminkan kepelbagaian kaum yang bersatu-padu di Malaysia.
