RAHMAT, UZBEKISTAN!

RAHMAT, UZBEKISTAN!

Oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah
7 Mei 2026
Samarkand, Uzbekistan
Sebagai seorang yang bersekolah rendah di Malaysia, kemudian ke sekolah menengah dan universiti di England, saya telah mempelajari serta menyerap pengaruh budaya Malaysia dan British. Malah, ibu bapa saya membawa kami bercuti ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Sudah sekian lama, ramai orang - seperti saya - hanya terfikir untuk melancong ke negara-negara di dunia Barat. Kami tidak cukup pengetahuan tentang negara-negara di Asia Tengah.
Saya pulang ke Malaysia dengan kenangan indah tentang Uzbekistan. Setiap orang yang kami temui telah menunjukkan kemesraan serta layanan yang luar biasa kepada kami.
Bandar-bandarnya - jika dibandingkan dengan beberapa tempat yang pernah saya kunjungi - sangat bersih! Terdapat bunga-bunga yang indah di mana-mana. Terdapat taman-taman untuk orang ramai bersiar-siar.
Kedai cenderamata di Tashkent dipenuhi dengan barangan yang menunjukkan nilai seni yang tinggi - daripada kotak kayu yang diukir halus sehinggalah kepada lukisan dengan perincian yang begitu teliti. Selain itu, terdapat selendang, jaket, dan jubah labuh yang disulam dengan warna-warna yang begitu menyerlah.
Lawatan ke Pusat Ketamadunan Islam merupakan satu pengalaman yang akan saya ingat dan hargai selamanya. Saya harap saya mempunyai lebih banyak masa untuk melihat semua paparan yang berbeza. Pusat tersebut benar-benar mencerminkan keluasan ilmu para cendekiawan Zaman Kegemilangan Islam!
Bagi tiga bangunan utama di Dataran Registan di Samarkand - keindahannya membuatkan saya cukup terpaku! Kedua-dua bahagian luar dan dalam masjid serta madrasah di sana sangat indah.
Saya gemar melukis sekali sekala dan merasa sangat rendah diri melihat kesenian dan kemahiran semua tukang yang telah membina bangunan-bangunan tersebut serta kawasan persekitarannya.
Kompleks Imam Bukhari juga mempamerkan sekali lagi bakat kesenian rakyat Uzbekistan serta warisan dan tradisi mereka. Saya sangat menyukai tiang-tiang kayu yang diukir.
Saya juga akan sentiasa menghargai detik dapat berada di Maqam salah seorang cendekiawan teragung dalam Islam.
Muzium dengan visual interaktif itu membuatkan kami lebih memahami tentang cendekiawan agung ini, kebijaksanaannya, kecintaannya terhadap agama, dan pencarian ilmunya yang membawa beliau ke banyak pusat pembelajaran hebat dalam dunia Islam.
Kita semua pernah membaca tentang beliau: kompilasi Hadis-hadis beliau terus menjadi panduan bagi semua umat Islam sehingga ke hari ini.
In Shaa Allah, dengan izin Allah, saya ingin membawa keluarga saya ke Uzbekistan.
Saya meninggalkan Uzbekistan, yang dipenuhi dengan begitu banyak sejarah dan keindahan, dengan berat hati - tetapi juga dengan harapan agar saya dapat datang ke sini lagi.
Kepada semua orang yang telah menghujani saya bukan sahaja dengan layanan yang mesra, tetapi juga yang telah berkongsi ilmu mereka, saya hanya mampu berkata dengan seikhlas hati saya - “Rahmat”.
Semoga Allah memberkati rakyat Uzbekistan kerana berkongsi dengan dunia keindahan Islam semasa Zaman Kegemilangannya berabad-abad yang lalu, dan kerana memelihara serta melindungi ilmu para cendekiawan agung anda agar seluruh dunia dan kita - generasi Islam hari ini dapat belajar dan melihatnya sendiri.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121