RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE KONSERT “THE SYMPHONY OF FRIENDSHIP 2.0” - LAMBANG PERSAHABATAN MALAYSIA DAN SINGAPURA

RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE KONSERT “THE SYMPHONY OF FRIENDSHIP 2.0” - LAMBANG PERSAHABATAN MALAYSIA DAN SINGAPURA

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke ‘The Symphony of Friendship 2.0’ di Dewan Filharmonic Orkestra, KLCC, semalam (27 November).
 
Turut berangkat, DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, Raja Dihilir Perak dan DYAM Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Raja Puan Muda Perak.
 
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datin Paduka Ho Ching, isteri Mantan Perdana Menteri Singapura, Dato’ Lee Hsien Loong.
 
Hadir sama, Encik Hishamudin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Ng Boon Heong, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Temasek, Singapura.
 
Konsert “The Symphony of Friendship 2.0” merupakan kali kedua dianjurkan bersama YRZSNJ dan Yayasan Temasek Singapura selepas diadakan pada tahun 2023 di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru.
 
Istimewanya pada tahun ini menampilkan persembahan inklusif orkestra dari dua negara iaitu Malaysia Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) bersama pemuzik Kementerian Pendidikan Malaysia, dan The Purple Symphony dari Singapura, serta penampilan istimewa Jaclyn Victor, Nadeera dan Suki Low
 
“Konsert ini adalah lambang kepada kerjasama, persahabatan dan perkongsian matlamat yang kukuh dan berkekalan. Kita meraikan keupayaan menakjubkan bidang muzik untuk menyatupadukan masyarakat serta memupuk persefahaman yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.
 
“Kita semua sedar tentang ketidak tentuan, bencana alam semula jadi, serta konflik-konflik yang membelenggu pelbagai rantau di dunia. Namun muzik, yang tidak terikat kepada bangsa, kaum, pangkat atau latar belakang, mampu menyentuh dan mengingatkan kita semua tentang nilai-nilai kemanusiaan,” titah Raja Permaisuri Agong.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121