RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS BACAAN YASIN DAN TAHLIL ALLAHYARHAM PROFESOR DIRAJA TERPUJI TAN SRI DR. SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Allahyarham Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Surau Utama Istana Negara, hari ini (12 Mac).
Hadir sama, YB Senator Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan dan Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.
Turut hadir Yusuf Islam (Cat Stevens) serta tetamu-tetamu jemputan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC).
Majlis bacaan Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Ustaz Mohd Nabil Laita Affandi, dari Bahagian Agama Istana Negara.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menunaikan Solat fardhu Zohor berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Wan Noor Hilmy Wan Ismail dari Bahagian Hal Ehwal Islam Istana Negara.
Pada majlis tersebut juga, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Sharifah Shifa Al-Attas, anak kepada Allahyarham Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Nadir Isaam Rafee, cucu kepada Allahyarham.
Profesor Diraja Syed Naquib Al-Attas yang meninggal dunia pada 8 Mac lalu dikurniakan gelaran Profesor Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 23 Oktober 2024.
Pengiktirafan tertinggi itu diberikan atas jasa dan sumbangan besar Allahyarham dalam bidang pendidikan serta pemikiran peradaban Islam.
