RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS JAMUAN TEH BERSAMA ALUMNI SEKOLAH DATIN KHADIJAH, KUALA KANGSAR, PERAK

RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS JAMUAN TEH BERSAMA ALUMNI SEKOLAH DATIN KHADIJAH, KUALA KANGSAR, PERAK

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Alumni sekolah rendah Baginda iaitu Sekolah Datin Khadijah Kuala Kangsar, Perak di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, hari ini (2 Julai).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Sharifah Muriana Wafa Syed Khalid Wafa, Pengerusi Jawatankuasa Alumni Sekolah Datin Khadijah serta barisan jawatankuasa penganjur.
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 800 alumni sekolah.
Pada majlis itu juga, Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan tayangan video yang mengimbau sejarah dan kenangan zaman persekolahan satu ketika dahulu.
Seri Paduka Baginda turut berkenan beramah mesra, bertanya khabar dan bergambar bersama tetamu yang hadir.
Raja Zarith Sofiah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah, Kuala Kangsar pada tahun 1966 hingga 1971 sebelum menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom, juga di Kuala Kangsar.
Seri Paduka Baginda kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di Cheltenham Ladies’ College di England pada 1972, sebelum menyambung pengajian tinggi di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, University of Oxford pada 1979.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121