RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA DAN BERBUKA PUASA ISTANA NEGARA

RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA DAN BERBUKA PUASA ISTANA NEGARA

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Perdana dan Berbuka Puasa di Istana Negara, hari ini (13 Mac).
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara.
Turut hadir, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Tuan Haji Hanifuddin Roslan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Pada majlis yang berlangsung di Surau Utama Istana Negara, Seri Paduka Baginda berkenan menyertai majlis khatam Al-Quran bersama tetamu jemputan yang hadir.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 182 peserta khatam dan tadarus Al-Quran antaranya dari Sekolah Menengah Agama MAIWP, Sekolah Menengah Agama Putrajaya, Pondok Moden Al-Abaqirah dan Maahad Tahfiz Darul Furqan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menunaikan fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Datuk Haji Munir Md. Salleh, Pegawai Agama di Surau Utama Istana Negara.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121