RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS RAMAH MESRA AIDILFITRI BERSAMA PUSPANITA, BAKAT, PERKEP, PERISMA DAN PERSIAP
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Bersama Pegawai-Pegawai Persatuan Wanita di Istana Negara, hari ini (2 April).
Keberangkatan Seri Paduka turut diiringi YAM Tunku Puteri Tunku Dr. Kamariah Binti Almarhum Sultan Iskandar.
Majlis yang diadakan di Dewan Santapan Utama turut dihadiri Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Majlis berkenaan melibatkan seramai 450 tetamu termasuk 330 dari Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA); Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).
Turut serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba & Penyelamat (PERISMA) dan Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP).
Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan melawat reruai persatuan-persatuan wanita yang mempamerkan produk hasil kraftangan keluaran persatuan masing-masing.
Seri Paduka Baginda turut berkenan beramah mesra dan bergambar dengan tetamu yang hadir.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian zapin dari Yayasan Warisan Johor dan persembahan hiburan oleh artis terkenal tanah air, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah.
