KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Persidangan Impak Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini (27 Oktober).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong disambut Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Yayasan MySDG; YB Dato’ Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi dan Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara.
Dalam titah perasmian, Seri Paduka Baginda menekankan prinsip-prinsip yang menjadi teras kepada Agenda 2030 Menuju Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.
Antara intipati utama yang dizahirkan dalam titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong adalah pendidikan berkualiti dan kesihatan yang baik bagi membentuk kemakmuran sesebuah negara.
“Pendidikan ialah kunci utama untuk masa depan kerana ia bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk nilai, empati dan integriti dalam diri setiap insan.
“Sebuah negara yang makmur bermula dengan rakyat yang sihat — justeru, akses kepada penjagaan kesihatan mesti dinikmati oleh semua, tanpa mengira latar belakang atau kemampuan.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut menyeru agar golongan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, komuniti Orang Asli, golongan miskin bandar dan luar bandar, wanita, kanak-kanak dan belia diberikan peluang dan harapan bagi memperoleh kehidupan yang lebih maju.
Seri Paduka Baginda turut menggalakkan penglibatan aktif daripada semua sektor termasuklah sektor awam, swasta, masyarakat, serta pihak yang terlibat dalam kerja-kerja filantropi bagi mencapai matlamat tersebut.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut dipersembahkan dengan dua sesi pembentangan oleh Profesor Jeffy D. Sachs, Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB dan Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Pengarah Eksekutif Pusat Sunway bagi Kesihatan Planet.
Yayasan MySDG ialah sebuah yayasan yang berperanan mempercepat kemajuan Malaysia ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
