RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE UZBEKISTAN UNTUK PERSIDANGAN TRADISI SAINTIFIK DALAM KETAMADUNAN ISLAM
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Tashkent, Uzbekistan pada hari ini (3 Mei) bagi menghadiri persidangan “Tradisi Saintifik dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran”.
Berlangsung di Pusat Ketamadunan Islam (Center of Islamic Civilisation, CIC) di Tashkent, Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal memberi titah ucapan Diraja kepada lebih 200 peserta terdiri daripada cendekiawan, pemikir dan negarawan dari pelbagai latar belakang.
Turut bersama mengiringi Raja Permaisuri Agong ke acara itu pada 5 Mei nanti, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pengajian Tinggi.
Terdahulu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Uzbekistan dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pagi tadi.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan Puan Sri Datin Dr Nor Azizah Abdul Latif serta Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Johor.
