RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MAJLIS TAZKIRAH DAN PENGURNIAAN BUBUR LAMBUK ISTANA NEGARA

RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MAJLIS TAZKIRAH DAN PENGURNIAAN BUBUR LAMBUK ISTANA NEGARA

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menghadiri Majlis Tazkirah dan Pengurniaan Bubur Lambuk Istana Negara sempena bulan Ramadan, pada hari ini (26 Februari).
Tazkirah disampaikan oleh Profesor Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Al-Qudsy, dari Jabatan Syariah, Ekonomi dan Governans Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, yang bertajuk “Andai Ini Ramadan Terakhir” yang menyentuh pelbagai amalan dan nasihat sempena bulan mulia ini.
Berasal dari Johor Bahru, Dr Sharifah Hayaati adalah tokoh ilmuwan dan pakar dalam bidang syariah, tadbir urus Islam dan kempimpinan wanita dalam Islam serta dasar pentadbiran awam.
Beliau pernah menjadi Felo Penyelidik Pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) pada tahun 2015 dan telah menghasilkan lebih 300 penerbitan penulisan pebagai bentuk, termasuk Halal Governance (2024), Masyarakat Sivil Maya (2024) dan Islam & Governan di Malaysia (2022).
“Saya suka mendengar penyampaian Dr Sharifah Hayaati yang penuh kelembutan. Saya mengenali dia sejak sekitar tahun 2007,” titah Raja Permaisuri Agong.
Selesai tazkirah, Seri Paduka Baginda berkenan menandatangani senaskhah buku yang pernah diberikan kepada Dr Sharifah Hayaati ketika beliau hendak melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat pada tahun 2007 atas biasiswa Fullbright yang berprestij tinggi.
Raja Zarith Sofiah kemudian menunaikan solat fardhu Zohor secara berjemaah di Surau Utama Istana Negara, sebelum berkenan menyerahkan bubur lambuk kepada 500 orang kakitangan istana.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121