RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MELAWAT MUZIUM LOUVRE ABU DHABI

RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MELAWAT MUZIUM LOUVRE ABU DHABI

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat melawat ke muzium seni Louvre Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam, (6 Februari).
Binaan hasil kerjasama dua hala antara UAE dan Perancis ini telah dibuka pada tahun 2017 dan mengandungi salah sebuah koleksi kesenian yang terbaik di dunia, serta menarik jutaan pelancong setiap tahun.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
Seri Paduka Baginda telah meluangkan masa lebih sejam melihat koleksi berkenaan, khususnya lukisan dan ukiran arca oleh Picasso, Monet, Mondrian, Gauguin dan lain-lain.
Oleh sebab Raja Zarith Sofiah pernah mempelajari Sejarah Kesenian (History of Art) semasa di sekolah, Seri Paduka Baginda memahami bagaimana penggiat seni lukis dari dunia Barat menjadi ilham kepada pelukis dan ahli seni di dunia Timur, termasuk dari negara-negara Arab.
Raja Permaisuri Agong mempunyai minat yang mendalam pada seni lukis, yang diwarisi daripada ayahanda, Almarhum Sultan Idris Shah II.
Seri Paduka Baginda juga rajin menghasilkan karya lukisan sendiri di masa lapang, dan ada hasil lukisan yang pernah dipamerkan serta dijual untuk mengumpul dana bagi amal kebajikan.
*turut disertakan beberapa gambar hasil lukisan oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121