RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MELAWAT SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI YANG DI-PERTUAN AGONG 2026

RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MELAWAT SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI YANG DI-PERTUAN AGONG 2026

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat melawat Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Kuala Lumpur, hari ini (4 Jun).
Lawatan ke SBJK merupakan antara acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2026.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut YB Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dan Datuk Abd Shukor Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri.
Hadir sama, Puan Wan Fazilah Wan Talib, Penolong Kanan Pentadbiran SBJK; Dato’ Wan Hashim Wan Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) dan Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan.
Pada lawatan berkenaan, Raja Permaisuri Agong berkenan diberi persembahan taklimat mengenai peranan KPM dan pengoperasian serta pencapaian SBJK oleh Ketua Setiausaha KPM.
SBJK yang ditubuhkan KPM pada tahun 2013 merupakan sekolah yang menawarkan akses pendidikan formal kepada kanak-kanak jalanan, terpinggir, tanpa dokumen pengenalan diri dan yatim piatu di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Sekolah yang mempunyai pelajar seramai 158 orang berkenaan ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi sistem dan aspirasi murid selaras dengan konsep ‘Pendidikan Untuk Semua’ (Education for all).
Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan berbentuk cek kepada SBJK yang diterima oleh Puan Wan Fazilah Wan Talib, Penolong Kanan Pentadbiran SBJK.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan kanak-kanak, pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121