RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT SANTUNI PELAJAR ILHAM SENI DIRAJA DI DUA PPR DI KUALA LUMPUR
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyantuni pelajar-pelajar Ilham Seni Diraja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wahyu dan PPR Beringin, Kuala Lumpur, hari ini (14 Februari).
Dua PPR berkenaan merupakan kawasan yang didiami oleh beberapa peserta program Ilham Seni Diraja, sebuah projek perintis yang dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong baru-baru ini sebagai usaha memupuk kesihatan mental lebih baik bagi pelajar B40 menerusi aktiviti kegiatan seni.
Program Ilham Seni Diraja merupakan program perintis yang memberi tumpuan kepada pembangunan potensi, bakat serta pembentukan sahsiah pelajar sekolah terpilih daripada golongan B40 di sekitar Kuala Lumpur.
Seramai 200 peserta terpilih untuk menyertai program itu dan akan diberikan pendedahan menyeluruh terhadap bidang kebudayaan dan seni kreatif menerusi pendekatan mentorship melibatkan tenaga pengajar profesional daripada agensi-agensi kerajaan serta penggiat seni tanah air.
Pada lawatan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan penduduk di dua PPR itu.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta asnaf di bawah inisiatif program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.
