RAJA PERMAISURI AGONG BERBUKA PUASA BERSAMA ANAK-ANAK YATIM, ASNAF DAN KANAK-KANAK JAGAAN YAYASAN CHOW KIT

RAJA PERMAISURI AGONG BERBUKA PUASA BERSAMA ANAK-ANAK YATIM, ASNAF DAN KANAK-KANAK JAGAAN YAYASAN CHOW KIT

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-anak Yatim, Asnaf dan Kanak-kanak Jagaan Yayasan Chow Kit hari ini, (11 Mac).
Majlis yang berlangsung di Dewan Santapan Utama Istana Negara turut dihadiri YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Turut hadir, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); Dato’ Dr. Hartini Zainuddin, Pengasas Yayasan Chow Kit dan Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan dari Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor kepada 70 anak yatim, 90 asnaf dari MAIWP.
Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 70 kanak-kanak jagaan Yayasan Chow Kit, 50 kanak-kanak Syria, Palestin dari Sekolah Al-Aqsa Kuala Lumpur dan 30 mualaf dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Majlis Bacaan ayat suci Al-Quran serta Terjemahan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zahirrudin Jamal Abdul Nasir dan Ustaz Haikal Zaini.
Seri Paduka Baginda kemudian menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah di Surau Utama Istana Negara yang diimamkan oleh Ustaz Zhafiran Zolkafli dari Bahagian Hal Ehwal Islam, Istana Negara.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121