RAJA PERMAISURI AGONG BERKUNJUNG KE ISTANA DOLMABAHCE, ISTANBUL
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat berkunjung ke Muzium Istana Dolmabahce di Istanbul, semalam (24 Mei).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda telah disambut oleh Puan Tangűl Erol, Ketua Protokol muzium berkenaan yang menjadi saksi lembaran sejarah penting negara Turkiye.
Berangkat sama mengiringi Raja Permaisuri Agong, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Turut bersama mengiringi Seri Paduka Baginda, Profesor Dr. Ismail Hakki Kadi, Pengarah Sekolah Siswazah dan profesor Jabatan Sejarah di Fakulti Kesenian, Universiti Istanbul Medeniyet, serta Dr Yakoob Ahmed, penyelidik bebas yang pernah berkhidmat sebagai Profesor Madya di Institut Pengajian Islam Universiti Istanbul.
Seri Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam mengunjungi ruang-ruang utama di dalam istana itu, yang menyaksikan kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan juga merupakan tempat di mana Mustafa Kemal Ataturk, pengasas Republik Turkiye, menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1938.
Dalam kunjungan itu juga, Raja Permaisuri Agong berpeluang mengimbau kembali lawatan ke Istana Dolmabahce bersama paduka kekanda dan adinda sewaktu zaman muda pada tahun 70-an dan bergambar kenangan di lokasi yang sama dalam perkarangan istana itu.
