RAJA PERMAISURI AGONG DIPERSEMBAHKAN TAKLIMAT PROGRAM PEMENTORAN BERKONSEPKAN SENI DAN BUDAYA UNTUK PELAJAR GOLONGAN B40
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan dipersembah taklimat mengenai Program Pementoran Berkonsepkan Seni dan Budaya Kepada Pelajar Golongan B40 di sekolah-sekolah terpilih sekitar Kuala Lumpur.
Mengetuai persembahan taklimat tersebut di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini (13 Januari) ialah Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara bersama Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).
Antara agenda utama yang dipersembahkan adalah perincian penuh konsep program yang dizahirkan atas hasrat murni inisiatif Seri Paduka Baginda.
Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar daripada golongan B40 tentang peluang kerjaya industri seni dengan mendekatkan mereka bersama penggiat serta artis ternama.
Ia juga sebagai sebuah saluran untuk mencungkil bakat masa hadapan serta pengisian bermanfaat bagi mengelak terjerumus ke dalam gejala sosial.
Datuk Azuan Effendy berkata, segala gerak kerja bagi menjayakan program ini sedang giat dijalankan.
“Saya amat bersyukur kerana semua pihak yang terlibat memberikan sokongan padu, dan penglibatan secara terus Seri Paduka Baginda dalam memastikan setiap perancangan juga menjadi inspirasi buat kami semua untuk memberikan yang terbaik,” kata beliau kepada Royal Press Office (RPO).
