RAJA PERMAISURI AGONG KURNIA PENGHARGAAN KEPADA PEMENANG PERTANDINGAN BAHASA INGGERIS PERINGKAT ANTARABANGSA
Seramai 28 pelajar Malaysia yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa mendapat pengiktirafan serta penghargaan daripada KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Dalam satu sesi mengadap yang berlangsung di Dewan Seri Temenggong, Istana Negara semalam (29 Januari), Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan mengadakan sesi pertemuan dan mengurniakan sijil penghargaan kepada 28 pelajar.
Pelajar-pelajar berkenaan terdiri daripada berbilang kaum dari seluruh Malaysia memenangi pertandingan Bahasa Inggeris peringkat antarabangsa antaranya di Itali, Amerika Syarikat, Brazil, United Kingdom, Singapura dan lain-lain
Turut hadir, Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara.
Evangeline Khoo dan Liew Erynn dari Kuala Lumpur pemenang pertandingan ‘The Queen’s Commonwelth Essay Competition’ di London pada 2024 amat berbesar hati apabila diberikan penghargaan daripada Raja Permaisuri Agong.
Mereka berdua sebelum ini mengharumkan nama negara apabila diberi penghargaan oleh Permaisuri Camilla di Istana Buckingham, London.
“Kami tidak menyangka dengan sebuah esei, kami dapat bertemu dengan dua Permaisuri dalam hidup kami. Pada hari ini, kami dapat masuk ke Istana Negara dan menerima penghargaan daripada Raja Permaisuri Agong.
“Ini adalah penghormatan tertinggi dan paling istimewa dalam hidup kami,” kata mereka kepada Royal Press Office (RPO).
Darrel Nathaneal Buko Desmond dari Sarawak, pemenang pingat emas Global English Language Olympiad of Southeast Asia (GELOSEA) 2025, di Incheon, Korea Selatan menyifatkan penghargaan daripada Seri Paduka Baginda ini menjadi pembakar semangat untuk terus menuntut ilmu tanpa jemu.
Beliau turut menitipkan pesanan buat rakan-rakan pelajar lain agar tidak gentar untuk bersaing di luar negara.
“Jangan takut untuk gagal, kegagalan adalah titik mula untuk kejayaan. Jadi sertailah pertandingan sebanyak mungkin untuk memajukan diri sendiri dan bagi memperoleh pengalaman yang bermakna dalam hidup,” katanya.
