RAJA PERMAISURI AGONG MEMANDANG SERIUS KEJADIAN ROGOL DI SEKOLAH

RAJA PERMAISURI AGONG MEMANDANG SERIUS KEJADIAN ROGOL DI SEKOLAH
 
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, bertitah Baginda memandang serius kejadian rogol yang dilaporkan berlaku disebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini.
 
Terdahulu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menerima mengadap YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan di Istana Negara, pada hari ini (14 Oktober).
Hadir sama, Dr Mohd Azam Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan; Dr Rusmini Ku Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) dan Mahfudzah Mohamed Noor, Pengarah Pendidikan Melaka.
 
Pada sesi mengadap selama hampir dua jam, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan menzahirkan pelbagai pandangan, antaranya mengenai pendidikan disiplin, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengaruh media sosial terhadap murid serta pelajar sekolah.
 
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, turut mengimbau pelancaran kempen TinDak (Tindak Demi Anak Kita) di bawah kelolaan Johor Women’s League (JEWEL) pada Mei 2017.
Kempen itu memfokuskan perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.
 
“Kementerian Pendidikan boleh melihat kepada keberkesanan modul dibawah kempen TinDak dalam usaha mewujudkan persekitaraan sekolah lebih selamat serta penglibatan secara bersama ibu bapa.
 
“Saya juga akan membantu dalam perkara ini selain menitahkan Universiti Teknologi Malaysia menjalankan satu kajian mengenai pengaruh media sosial ke atas murid dan pelajar.
“Sekolah juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan penggunaan internet serta media sosial di rumah dan sekolah, serta menilai semula cara untuk seiring bersama arus masa kini,” titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121