RAJA PERMAISURI AGONG MENYERU PARA GRADUAN PERLU MEMILIKI ILMU DAN ADAB YANG TINGGI AGAR MENJADI TELADAN KEPADA GENERASI BELIA DAN KANAK-KANAK
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah dan menyeru agar graduan memikul tanggungjawab membentuk generasi dengan memiliki ilmu dan adab yang tinggi, agar menjadi teladan dan panduan kepada kaum belia dan kanak-kanak.
“Generasi yang sedang dibentuk – sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di universiti – bukan sahaja perlu diasuh dengan ilmu dan kemahiran, tetapi mesti juga disemai dengan adab yang mulia.”
"Pendidikan ialah amanah yang amat besar nilainya. Ia bukan sekadar satu perjalanan bagi memperoleh sesuatu ijazah, tetapi merupakan juga satu proses yang membentuk peribadi, memperkukuh nilai serta memupuk rasa tanggungjawab dalam
seseorang individu."
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang mana Seri Paduka Baginda juga merupakan Canselor, pada hari ini (15 November).
Turut berangkat, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, yang juga Pro-Canselor UTM.
Seri Paduka Baginda turut memetik kata-kata, Profesor Diraja Terpuji, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, iaitu "Adab bukan sekadar etika dan tatacara, malah adalah juga disiplin jasad, akal dan roh."
Raja Permaisuri Agong turut berharap agar beberapa kejadian yang menggemparkan negara sejak kebelakangan ini dijadikan pengajaran dan menyeru agar semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan.
