RAJA PERMAISURI AGONG PANTAU PERKEMBANGAN PROGRAM ILHAM SENI DIRAJA
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap kumpulan tenaga pengajar program Ilham Seni Diraja di Istana Negara, semalam (25 Jun).
Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan taklimat oleh Puan Sri Tiara Jaquelina, pengasas Akademi Enfiniti selaku badan pelaksana program perintis itu, tentang perjalanan dan perkembangannya sejak dilancarkan pada bulan 29 Januari tahun ini.
Ia bertujuan memberi ruang pertumbuhan yang sihat dalam bidang seni dan budaya bagi pelajar B40, agar terlindung dari anasir gejala sosial.
Seramai 200 pelajar bersama 14 guru daripada tujuh buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlibat dalam program ini di bawah kelolaan Istana Negara, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.
Para pelajar diberi pendedahan dan latihan kepada cabang-cabang persembahan kesenian seperti lakonan, musik, fesyen, serta pelbagai aspek pengurusan di belakang tabir sesebuah pementasan.
“Hasrat saya adalah supaya program ini menjadi satu saluran yang membina perwatakan individu dan persahabatan yang positif untuk anak-anak ini agar menjauhkan mereka daripada pengaruh gejala sosial.
“Ia juga menjadi satu pendedahan kepada peluang kerjaya dalam bidang ini bagi yang benar-benar berminat dan cenderung ke arah kesenian dan kebudayaan,” titah Raja Permaisuri Agong.
