RAJA PERMAISURI AGONG PERKENAN TERIMA ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT KEDOKTORAN PSIKOLOGI UNIVERSITY OF READING
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Psikologi daripada Universiti Reading Malaysia, hari ini (1 Ogos).
Penganugerahan berkenaan adalah pengiktirafan kepada Seri Paduka Baginda yang memberi komitmen tanpa lelah kepada sektor pendidikan dan khidmat untuk masyarakat.
Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Psikologi kepada Raja Permaisuri Agong dipersembahkan oleh Paul Lindley OBE, Canselor University of Reading.
Turut hadir, Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor; Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, dan Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor.
Seri Paduka Baginda telah secara konsisten menzahirkan bahawa pendidikan merupakan salah satu perkara yang paling berpengaruh dan berkuasa bagi menggerakkan perubahan sosial yang positif.
Sepanjang melaksanakan tugas diraja, Raja Zarith Sofiah memperjuangkan peluang pendidikan, kecelikan, penguasaan bahasa, dan pemerkasaan orang muda.
Inisiatif naungan Seri Paduka Baginda seperti Bangsa Johor Bahagia telah menyatukan kepakaran pihak universiti dan keperluan masyarakat B40 sekaligus menambah baik peluang masa hadapan bagi golongan yang kurang berkemampuan.
“Saya berterima kasih kepada University of Reading atas pengiktirafan ini, yang saya terima dengan kesyukuran dan rasa hormat kepada institusi yang telah banyak menyumbang kepada pendidikan, penyelidikan serta pertumbuhan generasi masa hadapan,” titah Raja Permaisuri Agong.
